Diantara remaja yang ditahan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di sekitar Taman Medan, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 01 APRIL 2020

KETIKA catatan ini dilakar, negara sudah memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu ketiga selepas tempoh 18 Mac sehingga 31 Mac berakhir.

Covid-19 memberikan dampak menyeluruh terhadap seluruh kehidupan insaniah, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Segala kejanggalan, kecanggungan dan kekok menghadapi perintah ini telah sama-sama kita lalui. Ada yang mengeluh “aduh…bosannya.” Ada yang berteriak, “I am restless.”

Anak-anak yang bersekolah kini bercuti panjang. Universiti dan kolej ditutup. Ke pasaraya, klinik, dan bank kini perlu memandu berseorangan dan jarak hanya terhad dalam lingkungan 10km radius.

Tiada lagi pemandangan biasa di warung kopi menikmati roti canai, nasi lemak atau orang ramai berpeleseran di kompleks membeli-belah. Beli barangan keperluan dan mahu segera balik ke rumah, muka bertutup, tangan dinyahkuman dan suhu badan diperiksa di pintu masuk pasaraya atau bank.

Hanya sekitar dua minggu lalu, kita menjalani suasana kehidupan yang sama sekali berlainan dengan sekarang. Kini kita bukan lagi berada di zon selesa.

Mengehadkan pergerakan itu pun sudah suatu ketidakselesaan. Berkurung di rumah bukan tugas mudah bagi mereka yang lazim menjalani kehidupan serba aktif, rancak dan interaktif.

Kini sedarlah kita betapa pentingnya nilai persahabatan, persaudaraan dan perhubungan sesama insan. Biar pun ada kemudahan teknologi komunikasi membolehkan kita berinteraksi secara maya, ia tetap tidak sama dengan duduk bersantai-santai sambil berbual, gelak-tawa sambil menikmati secangkir teh dan semangguk mi bakso, mi rebus atau rojak atau apa sahaja makanan kegemaran kita.

Hari ini hampir semua warung dan restoran kegemaran kita terpaksa menutup operasi. Pergerakan kita tersekat, kita tersadung di rumah sepanjang waktu.

Nyata, teknologi canggih tidak mampu mengatasi hubungan asli kemanusiaan, teknologi tidak mampu membunuh sifat keinsanan, menghakis nilai-nilai kasih sayang sesama manusia biar darjat, keturunan, kedudukan dan pangkat berbeza.

Insan ada hati, roh, emosi, akal dan deria rasa berbanding teknologi yang kita sendiri cipta, kosong hampa tanpa nilai, tanpa akal.

Dari jendela rumah, kita hanya mampu memandang ke luar bak kata orang lama “mata lepas, badan terkurung.” Apa lagi cuaca hangat di luar membatas juga pergerakan kita.

Elok sahaja duduk di rumah sambil melakukan kerja-kerja sesuai seperti membaca, menulis, berfikir, mengajar di atas talian, membantu kerja harian di dapur, melipat kain, mencuci jubin bilik air atau menyidai pakaian.

Melayan mata dan tidur sahaja pasti menjadikan badan kita “basau” (istilah orang Negeri Sembilan) yang menunjukkan letih, lesu, dan malas. Tidur sahaja menjadikan kita tidak bermaya, otak beku, hilang motivasi dan inspirasi untuk meneruskan kehidupan yang tetap sahaja indah dan berseni ini.

Sudah ada yang membayangkan bila masuk bulan Ramadan kira-kira dua minggu lagi, apakah yang bakal terjadi? Jika PKP ini dilanjutkan sehingga akhir April atau sehingga Syawal selesai, apa kesudahan episod ini?

Sudah ada bayangan bazar Ramadan di kebanyakan negeri tidak beroperasi seperti tahun-tahun sebelum ini, mungkin tiada solat tarawih berjemaah di surau atau masjid, tiada majlis berbuka puasa, mendengar tazkirah dan tadarus berkumpulan.

Bukankah kita akan melalui sesuatu di luar kelaziman?  Amalan ritual dan serasi budaya yang sejak sekian lama dipraktiskan masyarakat Melayu Islam di tanah air kita buat pertama kalinya akan menjadi kelaziman baharu pula!

Kita kini berdepan satu revolusi insaniah yang pasti mengubah landskap sosiobudaya, politik, ekonomi, pendidikan, pemikiran, dan psikologi bangsa melalui episod Covid-19 ini.

Titik perubahan ditandai dengan perbezaan yang terpaksa kita harungi pasca Covid-19.

Seperti perbahasan awam, kebimbangan utama rakyat kini ialah untuk menghadapi suasana baharu ekonomi yang tidak pasti. Kebimbangan pihak industri dan syarikat-syarikat swasta yang terpaksa menstruktur operasi syarikat atau di dalam kes lebih berat terpaksa menutup operasi syarikat.

Kehilangan pekerjaan bermakna hilang sumber pendapatan dan menanggung kelaparan. Ini pasti sahaja menjejaskan kehidupan berkeluarga, mencetuskan ketidakstabilan sosial dan satu musibah baru pula menjelma.

Jalan ke muka yang tidak pasti dan apakah bentuk perubahan yang terpaksa kita lalui banyak bergantung kepada ikhtiar, kreativiti, inovasi dan kekuatan daya imaginasi semua pihak.

Dari peringkat pembuat dasar, pelaksana dasar, penjawat awam, pekerja swasta, pekerja persendirian, pelajar, surirumah, petani, nelayan, pemimpin agama, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat harus bergabung padu, bermuafakat dan bekerjasama untuk memperbaiki keadaan agar kembali normal, pulih dan bertenaga.

Negara kita masih kaya sumber daya manusia dan sumber asli untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Jika pakar, cerdik-pandai, pemikir dan pembuat dasar berupaya mengembleng tenaga, daya, dan upaya sudah pasti negara kita boleh menjajarkan semula makna pembangunan secara lebih holistik serta manusiawi.

Yang sudah berlaku terpaksalah kita tempuhi. Covid-19 berupa takdir sejarah kepada bangsa, negara dan dunia amnya. Benarlah seperti kata perbidalan Melayu, “sekali air bah, pantai pun berubah.” Mujur sahaja air bah ini tidak sampai membadai tsunami. Kita masih ada masa untuk bertafakur dan bertindak lebih baik!

Mohd Shah Abdullah

Oleh: Mohd. Shah Abdullah, Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan, Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan