Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan tiga lagi kes kematian akibat wabak Covid-19 setakat jam 12 tengahari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tiga kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 53 kes.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) sehingga kini terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 53 kes bersamaan 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian di Ibu Pejabat KKM hari ini.

Menurut Noor Hisham, daripada tiga kes kematian itu, satu kes adalah kematian ke-51 (kes-2,561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Kes ini dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac 2020 dan kemudian ke Institut Jantung Negara dan dia disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 1.07 tengahari,” katanya.

Manakala kematian kedua pula, ia adalah kes ke-52 (kes ke 2,122) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun.

“Dia telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 7.55 pagi,” katanya.

Katanya, kematian ketiga melibatkan kes ke-53 (kes ke-2,034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang.

“Dia telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 9.30 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 217 kes baharu dikesan hari ini dan ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,333 kes.

“Daripada 217 kes ini, 58 kes adalah berkaitan dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling,” katanya.

Katanya lagi, daripada 217 kes itu, sebanyak 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM yang merupakan salah satu hospital Covid-19.

“Daripada jumlah itu, di mana 41 kes adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor,” katanya.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini seramai 108 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambahnya lagi, setakat hari ini, sebanyak 60 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj serta-merta.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 827 kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette