Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan pertambahan empat lagi kes kematian baharu berkaitan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu adalah sebanyak 57 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, kes kematian ke-54 adalah kes ke-2,149 melibatkan wanita warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Jelasnya, mangsa telah dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac lalu.

“Kes kematian ke-55 adalah ke-860 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Dia telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac lalu.

“Kes kematian ke-56 pula adalah kes ke-2,850 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Dia mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,031 dan telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 30 Mac lalu.

“Kes kematian ke-57 adalah kes ke-1,575 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Dia telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 23 Mac lalu,” katanya pada sidang media harian wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkaitan dengan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

Jelas beliau, ia melibatkan 1,545 kes daripada 3,483 kes keseluruhan iaitu sebanyak 44.36 peratus.

“Kluster ini merupakan yang terbesar dan telah mempunyai beberapa generasi infeksi kluster contohnya melibatkan ahli keluarga mereka, hubungi rapat di masjid dan madrasah tahfiz.

“KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mengenalpasti dan menguji semua hubungan rapat di kalangan golongan yang berisiko tinggi ini.

“Orang awam juga disarankan agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk disaring jika menghadiri atau mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan itu,” katanya. – MalaysiaGazette