Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan harga getah peringkat ladang disokong pada harga RM2.50 sekilogram.

Jelas Lembaga Getah Malaysia (LGM), langkah itu berikutan keprihatinan kerajaan terhadap sektor yang terjejas akibat kejatuhan harga getah sejak kebelakangan ini yang diakibatkan oleh Covid-19.

Dalam masa yang sama, menurut LGM, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi kebenaran untuk aktiviti penorehan getah, pemprosesan, penjualan dan pembelian diteruskan sepanjang PKP.

Begitu juga kilang sarung tangan getah yang turut dibenarkan beroperasi mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Prihatin terhadap situasi semasa ini, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan LGM akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil dan industri getah secara keseluruhannya adalah terjamin dengan memberi kelonggaran kepada aktiviti penorehan, penjualan, pembelian dan pemprosesan getah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” kata LGM menerusi kenyataan hari ini.

Menurut LGM, sepanjang tempoh Januari hingga April 2020 yang lalu, harga getah jatuh menjadikannya yang terendah sejak Februari tahun 2016.

Direkodkan harga getah piawaian di pasaran iaitu gred Standard Malaysian Rubber (SMR 20) telah merosot sebanyak 24 peratus kepada RM4.50 sekilogram pada 2 April ini berbanding harga pada awal tahun ini.

Ini adalah berpunca daripada penurunan permintaan getah dunia, jangkaan berlakunya kemelesetan ekonomi dunia akibat Covid-19, kejatuhan harga minyak mentah dunia dan penurunan harga di pasaran niaga hadapan getah.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan kemelesetan ekonomi dunia akan berlaku pada tahun ini disebabkan oleh kesan pandemik Covid-19. Ini akan memberi kesan kepada pengurangan permintaan komoditi dunia termasuk getah asli

“Pasaran niaga hadapan getah Tokyo (Jepun), Singapura dan Shanghai (China) yang merupakan penanda aras utama harga getah dunia jatuh ke paras terendah sejak empat (4) tahun disebabkan ketidaktentuan prospek pasaran,” tambahnya.- MalaysiaGazette