KUALA LUMPUR – Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini namun angka yang disahkan positif Covid-19 dan kematian terus mencatatkan pertambahan.
Ini jelas suatu trend yang membimbangkan dan dijangka semakin memuncak sehingga ke pertengahan bulan ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Dalam kenyataannya kepada media semalam, beliau menganggap ia waktu yang sukar bagi rakyat.
Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan membuat pelbagai persiapan dalam menghadapi serangan pandemik itu.
“Ini dilakukan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung segera, sekaligus kebajikan rakyat dan kepentingan perniagaan sentiasa dipelihara.
“Bagaimanapun, kunci kejayaannya tetap berada pada setiap kita selaku rakyat Malaysia. Hanya dengan bersikap sewajarnya barulah segala usaha Kementerian Kesihatan ini membuahkan hasil.
“Kita pasti tidak mahu keadaan semakin memburuk dan tidaklah sukar untuk melakukannya. Hanya perlu duduk di rumah, sentiasa mencuci tangan dan jaga kebersihan, amalkan penjarakan sosial serta patuhi arahan PKP,” katanya.
Di Putrajaya semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, pihaknya merekodkan tiga lagi kes kematian akibat wabak Covid-19.
Kata beliau, pertambahan tiga kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia sebanyak 53 kes dan sebanyak 217 kes baharu dikesan menjadikan jumlah kes positif penyakit itu sebanyak 3,333 kes.
Justeru Mohd Khairuddin menyeru rakyat agar memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada kerajaan serta Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette
















