Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Peratusan penahanan orang ramai yang ingkar larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus menurun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, penurunan 21.18 peratus itu direkodkan sehingga semalam, dengan 413 individu ditahan, berbanding 524 orang pada 2 April lalu.

Jelas beliau, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 731 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksanaan ke atas 426,764 kenderaan.

“Polis juga telah melakukan sebanyak 26,202 pemeriksaan mengejut dan sebanyak 4,171 premis telah diperiksa.

“Semalam, polis menahan 413 individu yang melakukan kesalahan di sekatan jalan raya dan rondaan kerana melanggar PKP dan dari jumlah itu 380 orang direman dan 33 individu dijamin, manakala 362 telah dituduh di mahkamah.

“Secara tidak langsung terdapat penurunan dari segi jumlah tangkapan. Saya harap trend ini berterusan dan ini mungkin boleh dianggap gambaran pematuhan semakin meningkat,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Mengenai operasi sanitasi awam Covid-19, beliau memberitahu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama agensi berkaitan telah melaksanakan operasi itu di seluruh negara.

Semalam sahaja kata beliau, proses nyah cemar telah dilaksanakan di 426 kawasan di 11 negeri.

Antara kawasan yang dinyah cemar termasuk 170 balai polis dan 38,140 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan yang berisiko tinggi.

“Bagi memudahkan pengurusan premis kediaman berstrata, KPKT bersetuju untuk membenarkan pihak pengurusan beroperasi sepanjang tempoh PKP dengan dua orang sahaja dibenarkan bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada Celcom yang bersetuju menyediakan servis telekomunikasi internet melalui edaran kad SIM prabayar kepada mereka yang dikuarantin secara percuma.

Kemudahan 1GB data untuk internet, WhatsApp Call, Skype dan 10GB untuk Facebook dan Instagram dapat memberikan kemudahan untuk mereka yang dikuarantin berhubung dengan keluarga sepanjang tempoh kuarantin 14 hari.

“Juga terima kasih kepada Astro dan Unifi TV kerana memberi akses percuma untuk saluran berita dan hiburan kepada pengguna sepanjang PKP dilaksanakan,” kata beliau. – MalaysiaGazette