Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim

SHAH ALAM – Seorang Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bermain badminton bersama tiga rakannya di Dewan MBSA, Seksyen 23 di sini dicekup polis.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor selaku jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, keempat-empat individu itu telah ditahan pasukan polisĀ  di lokasi kejadian pagi ini.

“Sudah diambil tindakan sejak kes ini viral dalam media sosial Facebook yang mana empat tangkapan individu dilakukan mereka yang terlibat semasa bermain badminton di dewan tersebut pagi tadi.

“Mereka salah seorangnya adalah Ahli Majlis MBSA,” katanya dalam sidang media Op Covid-19 Kontinjen Polis Selangor hari ini.

Justeru Mohd Ismail berkata, polis kini dalam proses mendapatkan reman mahkamah ke atas keempat-empat suspek tersebut yang ternyata melanggar PKP yang dikuatkuasakan kerajaan.

Ujarnya tindakan penguatkuasaan polis telah diambil terhadap keempat-empat individu berkenaan di bawah Peraturan 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020

Malah tegas beliau, tindakan dalaman Datuk Bandar MBSA akan diambil kerana melanggar PKP dan terpulang kepada Lembaga Disiplin MBSA menentukan hukuman sesuai.

“Perintah reman ke atas empat individu berkenaan sedang di uruskan di mahkamah hari ini,” tegasnya lagi.

Menurut laporan berita Suara TV semasa kejadian, suspek didakwa mengarahkan Dewan MBSA Pejabat MPP Zon 9 Jalan Azalea 25/28 dibuka untuk membolehkan dia bermain badminton bersama tiga lagi rakannya.

Hasil pemeriksan dua anggota polis peronda yang bergegas ke lokasi tersebut, suspek memaklumkan dirinya merupakan Ahli Majlis MBSA sambil memberikan kad identitinya bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas mereka.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.