Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) bersama Duta China ke Malaysia, Bai Tian (kiri) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pelindung Muka dan Ventilator di Kementerian Kewangan Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Potongan debit terus daripada pinjaman sedia ada melalui akaun bank sepatutnya tidak berlaku sepanjang moratorium untuk tempoh enam bulan akan datang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, potongan tersebut perlu ditangguhkan secara automatik pada tempoh itu.

Namun jelas beliau, pihak bank tidak berbincang dengan kementeriannya untuk melakukan pemotongan tersebut.

Direct debit tidak ada perbincangan, yang ada moratorium yang sudah diumumkan faedah pinjaman ditangguhkan enam bulan. Penangguhan automatik dan sepatutnya (direct debit) tak berlaku,” katanya kepada pihak media di Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes peminjam yang masih dikenakan pemotongan pinjaman perbankan secara auto debit melalui akaun bank.

Isu berkenaan menjadi tular di media sosial apabila ramai pengguna perbankan dalam talian CIMB yang tampil mendedahkan terdapat transaksi duit secara automatik.

Selain transaksi bagi komitmen pembayaran bayaran pinjaman bank yang dibuat, terdapat juga kes dakwaan berlaku transaksi tidak sah yang tidak diketahui puncanya.

Bagaimanapun CIMB dalam satu kenyataan di Facebook rasmi hari ini berkata transaksi-transaksi direct debit baru-baru ini merupakan transaksi kad debit sah yang telah dibuat oleh pelanggan.

“Insiden-insiden terpencil ini adalah berkenaan dengan transaksi-transaksi tidak lengkap yang dibuat oleh pelanggan-pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan, perkhidmatan penstriman dalam talian.

“Bagaimanapun, transaksi-transaksi tersebut telah dilabel semula sebagai direct debit, menyebabkan kekeliruan kepada pelanggan-pelanggan kami.

“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan dan kami akan menghubungi pelanggan-pelanggan yang terbabit secara langsung,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette