Angka kematian kes koronavirus di Itali melepasi 15,000 orang. foto Agensi

MILAN – Itali melaporkan jumlah kes kematian Covid-19 terendah sepanjang tempoh dua minggu semalam.

Malah, angka pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi turut susut untuk kali pertama.

Berikutan itu, kerajaan menggesa orang ramai untuk tidak melanggar sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerana langkah tersebut sudah menunjukkan hasil, meskipun kes terbaru bertambah kepada 4,805 semalam, lebih tinggi berbanding beberapa hari lalu.

Jabatan Perlindungan Awam melaporkan sebanyak 681 kes kematian menjadikan angka keseluruhan melonjak kepada 15,632 sejak kes pertama pandemik koronavirus dilaporkan di Itali pada 21 Februari lalu.

Namun, angka kematian semalam adalah terendah sejak 23 Mac.

Jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 124,632 daripada 119,827 yang dilaporkan pada hari Jumaat tetapi buat pertama kalinya, jumlah pesakit dalam unit penjagaan rapi susut dengan 3,994 pesakit dirawat, turun 74 daripada 4,068 pada hari Jumaat.

“Ini adalah berita penting kerana ia membolehkan hospital kita ‘bernafas’,” kata Ketua Perlindungan Awam, Angelo Borelli, dalam satu taklimat harian. – MalaysiaGazette