Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu meneroka potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan ‘crisis proof’ (ketahanan krisis) untuk kelangsungan ekonomi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Jika sebelum ini, rencana ekonomi negara ialah merangsang pertumbuhan, sekarang, Malaysia mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari.

Semua ini pendekatan ini memerlukan inovasi, pemikiran luar kelaziman, dan pendekatan ekonomi yang luar biasa, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

”Malaysia mesti bersedia untuk melakukan ‘a total reset’ (penetapan keseluruhan) dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya.

”Sebelum ini, orientasi ekonomi kita tujahannya ialah kebolehsaingan dan pendapatan tinggi. Sekarang keutamaan kita ialah membangun ketahanan ekonomi,” katanya di sini.

Malaysia mesti memberi tumpuan untuk merombak secara radikal sistem penyampaian kerajaan dengan beralih kepada Kerajaan Digital secara total bagi mengelakkan sistem penyampaian lumpuh ketika berhadapan dengan krisis.

”Contoh yang paling nyata ialah apabila sekolah terpaksa ditutup dan bagaimana kita tidak boleh beranjak ke ‘online mode’ dengan pantas dan segera.

”Akhirnya banyak sekali masa pembelajaran yang terbuang dan gagal dimanfaatkan,” ujar beliau.

Selain itu, tambah beliau, kita mesti secara serius membangunkan kefahaman dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman bukan tradisional terhadap keselamatan negara.

Ini kerana, pandemik, serangan siber, bencana alam, dan pelbagai lagi krisis yang mengancam kemanusiaan adalah ancaman nyata.

Menurutnya, Malaysia akan lebih terdedah kepada semua ancaman bukan tradisional ini berbanding dengan peperangan atau ‘interstate conflict’ (konflik antara negara) kerana terlalu banyak sumber diperuntukkan kepada sektor pertahanan dan keselamatan tradisional sehingga pelaburan dalam kesediaan menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional diabaikan.

”Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan ‘ad hoc’. Kesiapsiagaan kita mesti mendahului masa. Pusat kebangsaan serupa ‘Centre for Disease Control and Prevention’ di USA sudah menjadi satu keperluan nasional dan mesti diutamakan,” katanya.

Di samping itu, bagi menghadapi krisis masa hadapan, negara memerlukan kerjasama erat antarabangsa.

Mohamad berkata, Covid-19 mengajar kita betapa ia hanya boleh dibanteras melalui kerjasama erat antarabangsa, justeru kita mesti menggiatkan penglibatan Malaysia dalam segala segi agar negara ini mempunyai rangkaian produktif dan boleh dimanfaatkan sewaktu krisis.

”Akhir sekali, di sebalik segala keterbatasan kita yang fana ini, daya usaha manusia sangat luar biasa apabila berhadapan dengan pancaroba luar biasa.

”Ia tidak pernah dikalahkan oleh malapetaka yang paling dahsyat sekalipun. Malah kerap sekali terjelma keperkayaan semangat yang luar biasa.

”Keperkasaan semangat untuk bangkit, merawat, melawan, membina, dan membangun semula segala yang terjejas, hilang, punah, dan binasa.

”Justeru, Malaysia mesti kembali yakin kepada setiap warganya dan menggelorakan keperkasaan jiwa dan raga mereka untuk menjayakan Malaysia pasca pandemik ini. Insya Allah, dengan ikhtiar dan keperkasaan semangat seluruh bangsa Malaysia, akan timbul fajar baru dan berlalulah segala gelap dan gelita,” katanya. – MalaysiaGazette