Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR – Kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditambah di semua sempadan dan perairan negara bagi memperketatkan lagi kawalan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia bertujuan bagi menyekat pencerobohan dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Setakat ini, katanya, seramai 2,500 orang pegawai berpangkat rendah dilibatkan dalam tugas mengawal dan meronda di perairan dan sempadan negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“PDRM akan menambah 100 peratus lagi kekuatan mengawal dan meronda pintu masuk negara khususnya di pantai-pantai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana faham akan kenyataan Kementerian Kesihatan bahawa negara kita dilanda gelombang ketiga virus maut ini.

“Kita (PDRM) menjangkakan ia (virus) disyaki akan dibawa oleh PATI menggunakan laluan tikus dan sudah pasti kehadiran mereka tanpa proses saringan berisiko tinggi kepada kita.

“Maka kita menyahut seruan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan akan memperketatkan kawalan di semua pintu masuk negara termasuk laluan tikus,” katanya dalam sidang media khas di Dewan Theatrette Bukit Aman hari ini.

Tambah Abdul Hamid, perkara berkenaan telah dibincangkan bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan dalam perkembangan berkaitan di mana PDRM berjaya menahan enam PATI di sempadan negara di utara Semenanjung dan Thailand  iaitu Padang Besar.

“Mereka terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan iaitu warga Bangladesh dan Myanmar berusia lingkungan antara 19 hingga 23 tahun,” tegasnya.- MalaysiaGazette