Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Kilang minuman keras, Heneikan yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 perlu diambil tindakan segera.

Tindakan membenarkan kilang itu beroperasi yang diletakkan dalam senarai perkhidmatan penting tidak seharusnya berlaku.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut juga tidak selari dengan dasar yang telah diputuskan dan dikuatkuasakan kerajaan.

Status Annuar Musa dalam Twitter menyifatkan operasi heneiken tidak selari dengan dasar kerajaan dan tindakan segera diperlukan.

“Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan. Tindakan perlu diambil segera. Period (tempoh),” katanya dalam akaun Twitter hari ini.

Semalam, tular sepucuk surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila memberi kebenaran kepada syarikat arak Heineken Malaysia Berhad untuk beroperasi semasa PKP.

Di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa Heineken pada 24 Mac lalu telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan kilang itu dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang PKP.

Reaksi beliau menyusul selepas salah seorang pemilik akaun Twitter, Kerajaan@Sir_Azri, meluahkan kekecewaan serta mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan kilang minuman keras terus beroperasi sebagai perkhidmatan penting dalam tempoh PKP.

Malahan pemilik Twitter berkenaan juga mendesak kerajaan membatalkan segera kelulusan operasi Heineken di negara ini.

Kilang itu didakwa terus kebal mengeluarkan produk sewaktu penularan wabak Covid-19.

“Minta BATALKAN kelulusan operasi Heineken Malaysia. Time Covid-19 ni macam takde sensitiviti langsung pegawai atasan kerajaan ni,” kata dalam ciapan itu.

Malahan pengguna Twitter itu turut melampirkan bersama surat rasmi Ketua Setiausaha KPDNHEP yang memberi pengecualian untuk kilang itu. – MalaysiaGazette

Surat kebenaran dan pengesahan KSU KPDNHEP yang membenarkan operasi Heneiken sewaktu PKP sebagai essential makanan yang ditandatanganinya dilampirkan pemilik akaun twitter yang belum dapat dipastikan kesahihannya.