Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Terdapat lebih 200 sektor perkhidmatan penting dan ia sepatutnya diberi keutamaan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding pengeluaran produk minuman keras yang boleh memabukkan pengguna.

Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengutamakan kebanyakan sektor perkhidmatan penting yang masih disekat supaya dibenarkan memulakan operasi semula.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak merasakan penghasilan minuman keras merupakan perkhidmatan penting berbanding banyak lagi syarikat yang berhadapan dengan kesukaran untuk beroperasi sewaktu PKP.

“Sekiranya penghasilan dan pengedaran minuman beralkohol seperti Heneiken boleh dianggap sebagai perkhidmatan penting, saya boleh memikirkan 200 lagi perkhidmatan yang lebih layak dari perkhidmatan (Heneiken).

Status Twitter Zaid yang mendesak kerajaan memberi keutamaan operasi kepada perkhidmatan penting yang lain dan bukan sekadar menganggap Heneiken sebagai satu-satunya khidmat Essential yang wujud.

Semalam, tular sepucuk surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila memberi kebenaran kepada syarikat arak Heineken Malaysia Berhad untuk beroperasi semasa PKP.

Di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa Heineken pada 24 Mac lalu telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan kilang itu dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang PKP.

Berikutan itu, beliau meminta kerajaan membenarkan perkhidmatan penting yang sebenar kembali beroperasi.

“Biarlah mereka yang benar-benar seperti petani, penjual nasi lemak jurudawai, tukang paip dan kontraktor kembali dibenar meneruskan operasi mereka,” katanya.

Pelaksanaan PKP menyebabkan sebahagian besar pemain perkhidmatan penting seperti petani, nelayan, tukang paip, kontraktor terjejas teruk, sekaligus menjejaskan rantaian perkhidmatan yang diperlukan rakyat. – MalaysiaGazette