Rata-rata warganet luah rasa kecewa pesanan dalam talian tidak sampai seperti yang dijanjikan, tiada makluman awal sehingga pelanggan ternanti-nanti tempahan mereka.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata warganet luah rasa kecewa pesanan dalam talian tidak sampai seperti yang dijanjikan, tiada makluman awal sehingga pelanggan ternanti-nanti tempahan mereka.

Berikutan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa kerajaan, pilihan rakyat untuk mendapat bekalan makanan amat terhad yang menyebabkan mereka terpaksa membelinya secara dalam talian.

Bagaimanapun, khidmat yang ditawarkan tidak seperti dijanjikan menyebabkan rakyat terputus bekalan makanan daripada pasar raya berkenaan dan ia mengecilkan lagi pilihan rakyat untuk mendapatkan sumber bagi meneruskan kehidupan.

Tinjauan di laman Facebook (FB) rasmi Tesco mendapati orang ramai mendakwa mereka kecewa kerana kegagalan perkhidmatan online pasaraya itu.

Antara komen netizen menerusi akaun FB masing-masing adalah;

Aienz Medina Qaisara : Tesco failed to deliver my order on 4th April but promise to deliver the next day unfortunately no delivery and without notice…really disappointed!!

Zaimah Mahathir : Kecewa sesangat, order saya tak dihantar semalam.

Linda Ahmad : #tesco…sangat kecewa…order dari 2 minggu lepas…last last semalam Tesco hantar message tak boleh hantar…info awal ler kalau tak boleh ambil order.

Maya : Dari bulan 3 lepas dah tiada slot penghantaran pun tapi pihak Tesco tak beritahu kepad customer. Geram pun ada bila dorang langsung tiada maklum balas bila kita email or call pun memang sangat sangt mengecewakan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, mana-mana pihak yang menyediakan khidmat dalam talian perlu sedia menepati permintaan pelanggan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.

“Kemungkinan tempahan terlalu banyak dan petugas harian yang terhad ekoran PKP menyebabkan pasaraya itu gagal memenuhi permintaan.

“Jika tidak mampu perlu maklum kepada pelanggan segera supaya pelanggan tidak tertunggu-tunggu. Tesco juga boleh mencontohi Lazada dan Shoppee yang menggunakan pihak ketiga sebagai penghantar barang.

“Saya difahamkan Tesco menggunakan logistik sendiri dengan petugas yang terhad ia boleh menjadi faktor kepada kegagalan perkhidmatan,” katanya.

Tambahnya, tiada isu kerugian kerana Tesco biasanya menawarkan khidmat menerima bayaran setelah barang sampai bagaimanapun kekecewaan rakyat ekoran mengharap dan menanti barang yang tidak sampai seperti dijanjikan.

Justeru, katanya, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDNHEP di talian 1-800-886-800 untuk sebarang aduan.- MalaysiaGazette