Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat sebagai tindakan berani dan terawal berbanding negara-negara jiran serantau, kata Ketua Industri Perkhidmatan Kewangan dan Risiko Pengawalseliaan Deloitte Malaysia, Justin Ong.

Beliau merujuk kepada nisbah SRR yang telah diturunkan sebanyak 100 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.00 peratus pada 20 Mac, 2020 manakala OPR dikurangkan untuk kali kedua tahun ini sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 2.50 peratus pada 3 Mac, 2020.

“Malah, kita merupakan negara pertama di rantau ini yang menawarkan kemudahan moratorium enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terbabit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Langkah-langkah tambahan turut diumumkan oleh BNM pada 27 Mac, 2020 yang memberi tumpuan kepada segmen PKS menerusi penambahbaikan dan meningkatkan peruntukan kemudahan pinjaman di bawah Tabung BNM untuk PKS, katanya.

“Pemegang polisi insurans dan peserta takaful juga tidak terkecuali menerusi langkah seperti penangguhan bayaran premium insurans dan sumbangan terhadap takaful tersebut.

“Sebaliknya, bank pusat negara lain di rantau ini lebih mengamalkan pendekatan lebih lembut seperti mengeluarkan peringatan kepada institusi kewangan melaksanakan kaedah kawalan mengurus impak penularan COVID-19 dan menyambut baik inisiatif sukarela bank untuk memberi kelonggaran kepada pelanggan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Ong menyifatkan tindakan yang diambil oleh BNM sebagai mengutamakan masa depan apalagi dengan mengambil kira penguncupan ekonomi Malaysia sebagaimana diumumkan menerusi laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari BNM 2019 pada 3 April lepas.

Beliau berkata, prospek ekonomi Malaysia adalah mencabar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan sekitar -2.0 peratus dan +0.5 peratus pada 2020.

“Ini berikutan permintaan global yang lemah, rantaian bekalan yang terjejas serta langkah-langkah kawalan COVID-19 baik di peringkat tempatan dan luar negara,” katanya.

Menurut Ong, pengumuman langkah-langkah awal bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 pada minggu lepas selain perubahan dasar monetari sejak suku lepas, merupakan petanda jelas pendirian BNM untuk berdaya tahan mengharungi cabaran semasa serta menyokong ekonomi pada masa sukar ini.

Deloitte merujuk kepada antara Deloitte Touche Tohmatsu Ltd (DTTL), firma anggota rangkaian globalnya serta entiti yang berkaitan.

DTTL (juga dirujuk sebagai Deloitte Global) dan setiap anggota firma dan entiti sekutunya adalah berasingan secara undang-undang dan merupakan entiti bebas.

Deloitte juga merupakan peneraju penyedia audit dan jaminan global selain khidmat perundingan, nasihat kewangan, cukai dan perkhidmatan berkaitan. – BERNAMA