Izani Zakaria

KUALA LUMPUR – Pengusaha dan pemandu bas sekolah di Kelantan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria berkata, sejak penguatkuasaan itu, mereka kehilangan punca pendapatan dan berdepan dengan kesempitan untuk menanggung kos sara hidup.

Beliau berkata, kebanyakan mereka bukan dari kalangan senang dan mempunyai sebuah bas sekolah yang menjadi harapan sebagai punca rezeki harian.

“Kita sedia maklum pada 30 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada semua yang terkesan dengan PKP bagi membendung penularan virus Covid-19.

“Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri ada menyebut pemberian bantuan kepada pemandu teksi dan e hailing sahaja.

“Kami, pengusaha dan pemandu bas sekolah yang bukan dari kalangan kaya juga turut terkesan dengan PKP ini yang hanya bergantung kepada pendapatan mengangkut pelajar sahaja,” katanya kepada media di Kota Bharu, semalam.

Menurut Izani, selepas PKP dilaksanakan, mereka sudah tiada punca pendapatan untuk membeli barangan keperluan seperti makanan dan sebagainya.

Di Kelantan kata beliau, daripada lebih 100 pengusaha bas, hanya 80 ahli yang berdaftar dengan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kelantan.

Kebanyakan mereka, yang terkesan dengan PKP adalah di sekitar kawasan pendalaman dan bandar di Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri agar dapat memberi bantuan kepada kami sepertimana diperolehi pemandu teksi dan e hailing,” katanya. – MalaysiaGazette