Anggota Polis Diraja Malaysia membuat sekatan jalan walaupun dalam hujan lebat susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Seri Kembangan, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedih peraturan penangkapan orang ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat sehingga 51 peratus semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan rekod polis, seramai 554 individu ditahan di sekatan jalan raya dan rondaan sehingga jam 12 tengah malam tadi.

Kata beliau, jumlah itu meningkat 51 peratus berbanding 368 tangkapan yang direkodkan pada 4 April lalu.

“Sebelum ini saya berasa bangga kerana setiap hari berlaku penurunan penangkapan empat hari berturut-turut sepanjang PKP fasa dua, tetapi semalam tiba-tiba meningkat kepada 51 peratus.

“Saya dimaklumkan oleh polis, peningkatan itu berlaku kerana mungkin ramai mengambil kesempatan keluar pada hari minggu, memandangkan semalam hari Ahad.

“Saya amat harap cuti setiap hari, bukan hari minggu saja, tolong jangan mengambil kesempatan hari minggu nak keluar ramai-ramai,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan pemeriksaan di sekatan jalan raya dan rondaan mengejut serta akan mengambil tindakan lebih tegas bagi mereka yang ingkar perintah PKP.

Tegas beliau, tindakan tegas itu diambil serentak dengan peningkatan positif Covid-19.

Berhubung jumlah sekatan jalan raya sehingga semalam, beliau menjelaskan, sebanyak 743 sekatan jalan raya di seluruh negara dilakukan dengan sebanyak 293,051 kenderaan diperiksa.

Katanya, daripada 554 individu yang ditahan, 489 direman dan 65 dijamin, manakala 213 individu dituduh di mahkamah.

Beliau turut menjelaskan, seramai 925 telah dikuarantin di seluruh negara semalam dengan 118 pusat kuarantin dibuka, menjadikan keseluruhan dikuarantin setakat ini seramai 6,698 orang.

Sementara itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Kesihatan, Polis, ATM, Rela, APMM dan Agensi Keselamatan Sempatan yang banyak berkorban sepanjang penularan wabak Covid-19 ini.

“Kerajaan juga amat berterima kasih sumbangan agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Bencana Awam.

“Kerajaan juga merakam penghargaan kepada Jabatan Penjara atas bantuan pengangkutan ke pusat kuarantin dan juga usaha mereka dalam menghasilkan peralatan perlindungan diri bagi kegunaan barisan depan Kementerian Kesihatan.

“Tahniah kepada warga penjara Penor di Kuantan, Kajang (Selangor), Pengkalan Cheap (Kelantan) dan penjara Tapah (Perak) atas sumbangan yang amat diperlukan ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette