Hasbullah Osman

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Gerik hari ini, menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis melakukan siasatan terperinci sama ada terdapat sebarang salah laku atau salah pengurusan kewangan dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Bahagian itu, Datuk Hasbullah Osman berkata, siasatan itu perlu berikutan pentadbiran kerajaan PH dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari lalu telah menyebabkan negara terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi dalam tempoh 22 bulan.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Gerik berkata, kerugian besar dicatat hasil dari penjualan aset milik negara kepada entiti swasta atau asing.

“Hal ini tidak boleh dibiarkan kerana ianya melibatkan kepentingan awam dan kepentingan kepada ekonomi negara.

“Penambahan hutang tidak munasabah dan tanpa keperluan munasabah ini boleh mengakibatkan keruntuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kedudukan kewangan kerajaan berada dalam keadaan yang baik dan tidak memerlukan sebarang pinjaman untuk dibuat daripada mana-mana pihak luar bagi mengharungi situasi ekonomi semasa.

Terutama kata beliau, selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu rakyat melalui saat sukar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik wabak Covid-19.

Menurut Hasbullah, UMNO Bahagian Gerik teguh mempercayai kredibiliti Tengku Zafrul dan kenyataannya berkenaan status kewangan dan ekonomi negara kini.

Ini, tegasnya, jika dibandingkan dengan mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tidak mempunyai kredibiliti, kemampuan dan pengalaman dalam urus tadbir kewangan negara mahupun mana-mana institusi kewangan besar.

Kelemahan itu, ujar beliau, tidak boleh diterima kerana ia akan menjadi penyebab rakyat terjerumus dalam keadaan ekonomi yang tidak sihat.

Katanya, pelaburan yang kononnya dibawa keluar tidak memberikan sebarang keuntungan dan mencerminkan ketidakupayaan serta kelemahan teruk PH dalam mentadbir negara.

“Kita tahu, sepanjang tempoh pentadbiran PH pasca PRU 14, rakyat dimomokkan dengan keadaan kewangan dan ekonomi negara yang meruncing dengan hutang tinggi kononnya ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mencecah RM1 trilion.

“Berikutan momokan itu, kerajaan PH telah membuat pinjaman Bon Samurai dari Jepun sebanyak dua kali dan tidak cukup dengan itu mereka menjual aset strategik kerajaan termasuk syarikat yang memberi keuntungan kepada kerajaan.

“Mereka juga menjarah wang keuntungan Petronas sebanyak RM80 bilion yang kononnya untuk menampung kos pengurusan dan pembangunan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette