Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mencatatkan satu lagi kematian akibat wabak Covid-19 setakat jam 12 tengahari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 63 kes setakat ini.

“Daripada maklumat yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita bahawa pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Ia menjadikan jumlah kes kematian di Malaysia adalah 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian di Ibu Pejabat KKM, hari ini.

Menurut Noor Hisham, kes kematian itu adalah kes ke-3794 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berumur 71 tahun dan berasal dari Perlis.

“Dia mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac hingga 24 Mac 2020.

“Dia telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 6 April 2020 jam 11 malam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham memaklumkan bahawa jumlah positif Covid-19 bertambah 170 kes baharu dilaporkan hari ini.

“Sehingga 7 April 2020 pukul 12 tengahari, terdapat 170 kes baharu telah dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,963 kes,” katanya.

Dalam pada itu, setakat ini seramai 92 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, sebahyak 80 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad sebanyak 1,321 kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette