Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) serta yang lain bergambar kenangan selepas membuat penyampaian simbolik sumbangan pada Penyerahan Sumbangan Foodbank YaPEIM 2.0 kepada 400 penduduk Plaza City One di Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Pusat Pengurusan Krisis (CMC) perlu mempergiatkan lagi kesiapsiagaan dalam mendepani peningkatan kes wabak berkenaan mengikut lokaliti-lokaliti tertentu di ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata,  pihaknya kini sudah mendapat maklumat di lokaliti yang lebih kecil dan ia memerlukan satu tindakan lebih spesifik oleh CMC.

Dengan memberikan gambaran bahawa usaha mengawal penularan wabak itu kini ditumpu di sekitar Jalan Masjid India  di sini ekoran terdapatnya peningkatan kes positif di kawasan itu.

Katanya, kerajaan memberi perhatian secara mikro agar langkah pencegahan dapat dibuat dengan lebih awal namun kawasan sekitar Masjid India sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai esok.

Ia kawasan kedua dikenakan PKPD selepas kawasan Menara City One di Jalan Munsyi Abdullah.

Menurut Annuar, pihaknya akan sentiasa memastikan keadaan terkawal meskipun terdapat pertambahan jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap hari.

“Secara relatifnya kita tak nak ambil peluang, kita nak pastikan Kuala Lumpur dikawal dan terkawal sepenuhnya daripada penularan. Kita tak nak ada budaya sambil lewa ataupun budaya ambil mudah.

“Biarlah kita bersusah-susah dahulu supaya kita tak berdepan dengan situasi lebih buruk di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Annuar menyaksikan penyerahan Foodbank oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai bantuan kepada 400 penghuni di Menara Plaza City One yang dikenakan PKPD sejak minggu lalu.

Hadir sama menyaksikan penyerahan itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zukifli Mohamad AlBakri.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu, kolaborasi dalam membantu mereka yang amat memerlukan merupakan satu langkah terpuji.

Menurut Zulkifli, pihaknya menerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membantu usaha tersebut dan ia akan melibatkat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), YaPEIM, Tabung Haji dan beberapa institusi dibawah jabatannya.

“Bukan sekadar makanan, minuman tapi juga barang-barang yang bersifat untuk dimasak yang akami akan cuba bantu dengan sebaik-baiknya.

“Slogan kami tak lain tak bukan, jangan ada yang lapar atau kebuluran. dan kalau ada sila laporkan kepada kami, Insyaallah untuk makan dan minum kita akan cuba memberi sebaik mungkin,” ujarnya. – MalaysiaGazette