Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja rakyat Malaysia, diplomat asing yang pulang ke negara ini juga tidak terkecuali daripada menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, terdapat permintaan daripada diplomat berkenaan untuk dikuarantinkan di hotel yang mereka pilih dan kosnya ditanggung oleh kedutaan masing-masing.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan tidak mempunyai masalah atas permintaan itu tetapi mereka juga mesti mematuhi dan mengikuti operasi standard prosedur (SOP) yang ditetapkan.

Begitu juga, katanya, bagi rakyat Malaysia yang hendak memilih hotel, mereka perlu menanggung kosnya tanpa bantaun dari kerajaan.

“Kerajaan setakat ini mewartakan 45 hotel bertaraf tiga bintang ke atas untuk dijadikan pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

“Kos yang kerajaan tanggung ialah RM150 sehari termasuk makan minum manakala kos lain seperti dobi akan ditanggung oleh mereka sendiri.

“Manakala diplomat asing yang mahu tinggal di hotel lima atau enam bintang, kosnya perlu ditanggung oleh kedutaan mereka tetapi hotel itu mesti mematuhi SOP yang kita tetapkan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, sehingga semalam, sebanyak 122 pusat kuarantin beroperasi di seluruh negara melibatkan kira-kira 7,500 individu yang sedang menjalani proses wajib kuarantin. – MalaysiaGazette