Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Asean dan Industri (DPAI) menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (Prihatin) tambahan berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Langkah itu adalah usaha radikal kerajaan dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara dan memastikan periuk nasi rakyat sentiasa terjaga ketika berdepan dengan situasi sukar ketika ini.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan, seperti hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu masyarakat terpinggir daripada menerima bantuan itu, pihaknya terpanggil untuk menyuarakan pandangan dan pendapat.

Katanya, beliau turut berharap individu muflis tidak terkecuali kerana mereka juga berada dalam keadaan sukar akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Kita harap tidak ada yang terpinggir termasuk mereka yang muflis. Ada antaranya muflis bukan disebabkan mereka sendiri, ada yang muflis kerana menjadi penjamin dan ada yang muflis kerana ditipu dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Sohaimi, kerajaan perlu meminta Bank Negara memberi moratorium kepada peminjam yang gagal membuat bayaran balik secara berjadual.

Ini kerana, peminjam dalam kategori itu biasanya berdepan masalah kewangan yang memungkinkan mereka berbuat demikian secara berdisiplin mengikut jadual, apatah lagi dengan situasi ekonomi semasa.

Kata beliau, dalam keadaan sekarang, mereka sepatutnya boleh mendapat penangguhan bayaran balik pinjaman dan penjadualan semula bayaran wajar dilakukan selepas tempoh moratorium berakhir.

“Selain itu, kita juga berharap kerajaan segera menggerakkan projek kerajaaan yang dirancang bagi merancakkan ekonomi domestik termasuk peluang pekerjaan.

“Namun, dalam masa sama kerajaan perlu memecah monopoli penguasaan syarikat besar terhadap projek kerajaan supaya ia turut dapat dinikmati oleh syarikat kecil untuk terus beroperasi, sekali gus mengurangkan pembuangan tenaga kerja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast