Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan tiga kaedah baru penjualan juadah pada bulan Ramadan, bersesuaian dengan keadaan negara yang masih melaksanakan langkah membendung penularan wabak Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kaedah pertama melalui bazar Ramadan berkonsepkan pandu lalu.

Menurut beliau, lokasinya telah dikenal pasti iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil, sepanjang Jalan Persint 2, Putrajaya yang mana ia terletak di kawasan yang besar bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Gerai-gerai di kawasan ini akan beroperasi pada jarak 20 meter, katanya.

“Di bawah konsep ini gerai-gerai dan penjaja akan disusun pada jarak sesuai sekurangnya 20 meter tiap gerai dan kenderaan boleh buat tempahan lebih awal dan penjual-penjual akan menyediakan tempahan dan pembeli datang terus mengambil tempahan mereka.

“Atau kalau nak beli secara mengejut (impromtu) kita boleh melihat perincian bagaimana konsep ini dapat dilaksanakan, yang penting secara efisyen dan tidak mengganggu lalu lintas,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Annuar, pihak berkuasa tempatan Putrajaya, Labuan dan Kuala Lumpur akan memperincikan pelaksanaan konsep pasar Ramadan itu sebelum maklumatnya  dihebahkan.

Selain itu, kata Annuar, konsep kedua adalah pembelian juadah berbuka puasa melalui atas talian.

Namun lokasi pusat mengambil makanan masih belum diputuskan, ujarnya.

Tambah beliau, konsep ketiga penjualan juadah Ramadan ialah melalui perkhidmatan e-hailing  seperti yang sedia ada.

Menerusi kaedah itu beliau menjangkakan penglibatan lebih kurang 20,000 penghantar makanan diperlukan.

Kaedah itu, ujarnya, akan dilaksanakan dengan menetapkan penghantaran makanan tidak melebihi 7 kilometer dari pusat penjualan bagi mengelakkan kelewatan penghantaran khususnya pada waktu kemuncak iaitu dua jam sebelum waktu berbuka puasa.

“Untuk konsep e-hailing berkemungkinan kita perlu pusatkan atau wujudkan beberapa kluster di mana penjual-penjual ditempatkan di tertentu lokasinya supaya sistem penghantaran menjadi lebih mudah.

“Bermakna berkemungkinan DBKL akan memilih di sekitar KL pada radius 5 ke 7 kilometer akan ada satu pusat di mana mereka boleh memproses makanan.

“Kita menjangkakan daripada 66 tempat asal mungkin kita akan pilih 30 tempat radius khidmat penghantaran yang tidak melebihi 7 kilometer supaya penghantaran dapat dibuat dengan cepat dengan tempahan yang dibuat sebelum pukul 5 petang pada setiap hari,” tambahnya.

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, operasi perniagaan menerusi ketiga-tiga kaedah ini adalah 11 pagi hingga 6 petang, katanya yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan itu bermula pada 13 hingga 19 April.

Annuar berkata, bagi peniaga yang telah berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka boleh membuat pengesahan kaedah yang dipilih bagi meneruskan operasi perniagaan pada bulan Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, ketiga-tiga konsep itu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini dan respon terhadapnya adalah positif, malah kaedah tersebut juga boleh digunapakai di negeri-negeri lain.

“Jemaah Menteri berpandangan apa yang kita lakukan ini dapat juga diperluaskan di luar kawasan Wilayah Persekutuan setelah kita bentangkan tadi kita akan bekerjasama sekiranya ada PBT di luar Wilayah Persekutuan supaya konsep yang kita laksanakan boleh dikongsikan

“Jemaah Menteri berpandangan apa yang kita buat ini adalah baik dan penguasa-penguasa tempatan yang lain boleh menggunakan konsep yang sama,” ujarnya.

Selain itu Annuar memaklumkan Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada peniaga yang bersedia untuk mencuba salah satu daripada konsep baru itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.