Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Satu sub kluster telah dikesan berlaku di Rembau, Negeri Sembilan yang melibatkan kluster Seri Petaling sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti di dalam daerah Rembau iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

“Sehingga 8 April 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua puluh tujuh orang yang telah dikenalpasti positif Covid-19, termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 adalah positif bagi beberapa guru di SMK Pedas,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kata Noor Hisham, KKM percaya penularan ini berpunca daripada satu mesyuarat di sekolah berkenaan yang dihadiri oleh kes indeks, iaitu kes ke-448, yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Seri Petaling.

“Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung,
sehingga terdapat 3 generasi jangkitan.

“Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untukĀ  melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Ditanya samada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan, Noor Hisham berkata, KKM mempunyai beberapa pilihan selepas tamatnya tempoh PKP pada 14 April ini.

“Laporan telah kita lihat tapi kita perlu sehari dua untuk analisa semua data.

“KKM akan keluarkan cadangan ke Jemaah Kabinet dan ada beberapa pilihan yang ada dan keputusan adalah bergantung kepada Kabinet dan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM memantau rapat perkembangan Covid-19 sepanjang perintah PKP fasa kedua ini.

“Setahu KKM, tidak ada perkembangan mendadak yang dilihat dalam kes ini. Walaupun kita tidak menang dan tidak lagi kalah dalam memerangi wabak ini, apa yang penting adalah untuk kita monitor (pantau) rapat dan perlu ada proposal (cadangan).

“KKM bersandar kepada fakta dan sains jadi bukan bergantung kepada pendapat saya tapi kita tengah merangka modul baru dalam menjangkakan wabak ini,” katanya.

Noor Hisham berkata, KKM sangat berpuas hati dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Kluang, pada 27 Mac lalu.

“Kita gembira dengan perkembangan terkini di Kluang. Hari ini 4 kes positif baharu dikesan dengan jumlah 134 kes di sana. Bandar Baru Ibrahim Majid 137 kes dengan pertambahan 4 kes.

“Pecahan ikut mukim Ulu Benut 151, Kluang 14, Macap 4, dan Nyior 1 kes.

“Kita lihat dari segi pelaksanaan PKPD di Kluang adalah menggalakkan dan mencapai matlamat yang telah kita laksanakan untuk tempoh dua minggu.

“Kita dapat hasil yang positif dalam melaksanakan PKPD di Kluang,” katanya. – MalaysiaGazette