Pengarah Penjara Kajang, TPK Abdul Halim Mahasan (kanan) meyerahkan set PPE kepada Ariffin untuk disampaikan kepada Pengarah-Pengarah Penjara Selangor/Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Semua penjara di wilayah Kuala Lumpur dan Selangor menerima peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan anggota dan pegawai yang bertugas menjaga banduan.

Berikutan penularan wabak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan anggota dan pegawai penjara berdepan dengan risiko jangkitan dari kalangan banduan yang status kesihatan mereka tidak diketahui.

Sehubungan itu, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Komisioner Penjara Ariffin Mohd Noor turun menyampaikan PPE kepada penjara di dua kawasan itu.

Antara yang terkesan ialah Penjara Sungai Buloh, apabila menerima lebih 1,000 individu yang telah direman sejak pelaksanaan PKP.

Kemasukan individu yang kena tuduh itu ke penjara berkenaan memberi risiko kepada anggota dan pegawai penjara kerana status kesihatan mereka yang tidak diketahui.

Oleh itu, risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu orang kena tuduh dengan petugas penjara tidak boleh dipandang ringan.

Pengarah-Pengarah Penjara Selangor/Kuala Lumpur menerima set PPE dari Ariffin untuk keselamatan anggota dan pegawai ketika bertugas.

Begitu juga risiko jangkitan anggota yang bertugas di penjara lain di Selangor dan seluruh negara.

Atas dasar prihatin dengan aspek keselamatan dan ancaman penyebaran wabak Covid-19 di kalangan anggota Jabatan Penjara, khususnya di Selangor, maka Penjara Kajang mengambil inisiatif menghasilkan PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan pengurusan pesalah khususnya oleh Anggota Unit Pemeriksaan Keselamatan, Petugas Klinik Penjara, Petugas Unit Kuarantin serta Unit Pembangunan untuk unit nyah kuman Covid-19.

Majlis penyerahan set PPE disempurnakan Ariffin kepada Penjara Sungai Buloh, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam, Maktab Penjara Malaysia dan Pejabat Pengarah Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Bilik Gerakan Penjara Kajang. – MalaysiaGazette