Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Purata kematian berkait dengan pandemik Covid-19 di negara ini adalah rendah dengan peratusan 1.58 peratus berbanding ada negara peratusnya lebih 4 hingga 5 peratus.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kadar peratusan yang rendah itu antaranya disebabkan kerajaan sudah berada pada tahap siap siaga serta menyediakan ubat terbaik untuk merawat COVID-19.

Malah kata Noor Hisham, perkhidmatan perubatan juga berada pada tahap begitu memuaskan selain rawatan sistematik yang disediakan dengan cekap menyebabkan kadar kematian itu berada pada tahap rendah.

“Berbanding dengan negara lain, peratusan kematian kita adalah rendah dengan 1.58 peratus setakat ini. Ada negara 4.5 peratus, ada juga 5.6 peratus.

“Ini menunjukan perkhdimatan perubatan yang diberikan di negara ini contohnya di wad atau ICU sangat baik dan memuaskan. Pakar-pakar kita juga dapat merawat pesakit kita dengan sebaik mungkin.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada pakar-pakar kita yang berikan rawatan mantap dan berkesan kepada semua pesakit-pesakit.

“Apabila kita lihat sekarang ini, 88 peratus daripada pesakit-pesakit Covid adalah mereka yang positif bergejala ringan atau tidak ada gejala. Tetapi Kementerian Kesihatan tetap akan asingkan mereka untuk 10 hingga 14 hari.

“Kita akan pastikan mereka negatif Covid sebelum bertindak discaj mereka,” katanya dalam sidang media harian di KKM sebentar tadi.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga melahirkan rasa lega dengan jumlah kes positif yang baharu hari ini iaitu sebanyak 109 kes serta jumlah kumulatifnya setakat ini ialah 4,228 kes.

“Ini juga bermakna bilangan kes kes yang discaj hari ini juga melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” ujarnya.

Sebanyak 121 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dengan jumlah kumulatif keseluruhan pulih ialah 1,608 kes atau 38.0 peratus sehingga 12 tengah hari tadi. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Boleh tanya sikit kpj boleh bagi komen apa.. nabi kata tak tau baik diam lebih2 lagi kalau cakap sakitkan hati apatah lagi timbul kan fitnah merata2.. sape yg kat ivory ni sbnarnya, kasi dia turun.. boleh berambus…

Comments are closed.