Pengarang Malaysia Gazette, Radzuan Hassan semasa menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan bagi menghadapi Covid-19 di Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2020.

MELAKA – Portal berita, MalaysiaGazette (MG) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan (KK) Tengkera di sini yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarang MG, Radzuan Hassan berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik, Advance Pact Sdn. Bhd. sebagai sokongan kepada para petugas kesihatan yang sedang ‘berperang’ dengan wabak Covid-19 yang menular di negara ini sejak hujung Januari lalu.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini menyediakan sebanyak 260 bungkusan makanan nasi Arab kepada petugas barisan hadapan yang bekerja-keras sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

“Sumbangan selama dua hari bermula hari ini bertujuan menghargai peranan mereka seramai 130 orang yang berusaha menyelamat pesakit dan orang ramai.

“Pada masa sama, kami turut mengalu-alukan mana-mana pihak lain yang berminat menjadi rakan strategik bagi program CSR pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan 130 bungkusan makanan di KK Tengkera hari ini.

Pengarang Malaysia Gazette, Radzuan Hassan menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan bagi menghadapi Covid-19 di Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2020.

Bungkusan makanan itu diserahkan kepada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tengkera, Dr. Juliana Abdul Aziz dan Dr. Hasuarina Hassan.

Turut hadir, Penolong Pengurus Besar Operasi BEMS, Advance Pact Sdn Bhd, Norhazlin Jalalludin.

Sementara itu, Norhazlin berkata, pihaknya terpanggil untuk turut serta dalam program penyerahan bantuan berkenaan sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan.

“Saya berharap dengan adanya bantuan ini dapat meringankan beban mereka untuk makan dan minum secara teratur dan sempurna,” katanya.

Penolong Pengurus Besar Operasi BEMS Advance Pact Sdn Bhd, Norhazlin Jalalludin menyerahkan sumbangan  kepada Dr Juliana Abdul Aziz mewakili petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 09 APRIL 2020.

Sementara itu, KK Tengkera antara lima KK yang membolehkan orang ramai menjalani pemeriksaan atau tapisan kesihatan virus Covid-19 dan keputusan ujian saringan akan diketahui dalam tempoh 48 jam.

Kriteria tapisan kesihatan membabitkan mereka yang demam atau mengalami jangkitan salur pernafasan akut dengan mana-mana satu simptom berikut, iaitu sesak nafas, batuk dan sakit tekak.

Turut perlu menjalani tapisan kesihatan ialah sesiapa yang ada sejarah melawat atau tinggal di negara terjejas, iaitu China (termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan), Korea Selatan, Itali, Iran dan Jepun dalam tempoh 14 hari sebelum gejala.

Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari sebelum gejala turut dikehendaki menjalani tapisan kesihatan. – MalaysiaGazette