KUALA LUMPUR – Penuntut-penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tinggal di kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta supaya memaklumkan kepada pihak universiti masing-masing bagi memudahkan proses pemberian bantuan dibuat untuk mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ketika ini pihaknya memiliki jumlah barang-barang keperluan untuk dihantar ke universiti yang dikumpul di Yayasan Food Bank Malaysia.

“Sebentar tadi saya ke Yayasan Food Bank Malaysia untuk melihat sendiri pengurusan penghantaran barang-barang keperluan ke universiti.

“Ini adalah kunjungan kedua saya, bagi menghantar sumbangan daripada badan-badan korporat dalam memastikan makanan mencukupi untuk diagihkan ke kampus-kampus,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Noraini berkata, kunjungannya ke yayasan berkenaan merupakan kali yang kedua dalam usaha menghantar sumbangan daripada badan-badan korporat bagi memastikan makanan mencukupi untuk diagihkan ke kampus-kampus.

Ujarnya, sebanyak 128 IPT telah menerima bekalan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan semua itu diberikan oleh penyumbang-penyumbang yang konsisten untuk membantu. – MalaysiaGazette