Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Orang Asli sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan fasa pertama bernilai RM5 juta diagihkan dari 2 hingga 10 April lalu kepada 49,670 ketua isi rumah melibatkan 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

Jelas beliau, bantuan fasa kedua pula bernilai kira-kira RM6 juta akan bermula pada 10 April ini dengan penambahan penerima seramai 55,000 ketua isi rumah.

“Bantuan fasa kedua ini merupakan sambungan daripada agihan fasa pertama dengan penambahan kepada keluarga yang berpindah randah dan tinggal di kampung tambahan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, ditanya media berhubung penyambungan PKP fasa tiga, Ismail Sabri berkata, sambung atau tidak tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Setakat ini, katanya, kerajaan belum berbincang lagi mengenainya, tetapi menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan sama ada meneruskan PKP atau berakhir sehingga 14 April ini.

“Selagi tidak ada pengumuman (dari Kementerian Kesihatan), tarikh (tamat) PKP macam biasa sehingga 14 April ini,” katanya.

Berhubung kebimbangan masyarakat dengan penambahan kenderaan di jalan raya sejak dua hari lalu, beliau berkata, trend itu bersifat sementara iaitu berikutan orang ramai ke bank untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Saya percaya penambahan kenderaan ini bersifat sementara dan kita lihat jumlah tangkapan akibat ingkar PKP pun semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

“Saya minta mereka yang beratur untuk mengeluarkan wang, mematuhi penjarakan sosial satu meter dan kita minta polis memantau setiap kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast