Seorang banduan sedang menghasilkan keranda bagi menampung kes kematian yang tinggi di Ecuador. foto Agensi

QUITO – Para banduan di penjara Ecuador akan memulakan pembuatan keranda bagi menampung kekurangan bekalan di Guayaquil, susulan wabak koronavirus.

Banduan-banduan di Ambato akan menggunakan kayu-kayu yang dirampas oleh pihak berkuasa alam sekitar untuk membuat keranda.

Keranda-keranda itu akan mula dihantar ke wilayah Guayas yang kini berdepan dengan 68% kes koronavirus di Ecuador, selain ke Guayaquil.

”Kementerian Alam Sekitar akan menyerahkan kayu-kayu yang dirampas. Kami akan membuat keranda kayu kepada keluarga yang kehilangan orang kesayangan,” kata menterinya, Juan DeHowitt.

Di Andean, sebanyak 4,965 kes koronavirus direkodkan dengan 272 kes kematian.

Selain itu, 284 orang meninggal dunia disyaki akibat kontak dengan pesakit.

Penularan wabak itu telah menyebabkan kekurangan keranda di Guayaquil, menyebabkan beberapa keluarga mengebumikan saudara-mara mereka menggunakan kotak kadbod yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat persendirian kepada pengurusan tanah perkuburan.

Presiden, Lenin Morena memberi amaran bahawa angka kematian akibat koronavirus di Guayas boleh melonjak kepada 3,500.

Lantaran itu, pihak berkuasa mewujudkan tanah perkuburan kecemasan dan Menteri Dalam Negeri telah melaksanakan peraturan baru harga perkhidmatan pengurusan pengebumian susulan ada laporan harga yang dikenakan terlalu tinggi. – MalaysiaGazette