Majlis penyerahan Kit Penjagaan MPM itu diadakan di perkarangan Menara Kuala Lumpur baru-baru dengan gimik pelepasan apabila menempah perkhidmatan e-hailing, Grab Car.

KUALA LUMPUR – Ketika pelbagai agensi sedang giat menyalurkan sumbangan kepada barisan hadapan negara dan golongan asnaf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perhatian juga perlu diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang turut memerlukan bantuan menghadapi penularan virus Covid-19.

Menyedari situasi itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tampil dengan langkah proaktif untuk membantu barisan atlet Para negara apabila mengedarkan Kit Penjagaan Kesihatan MPM kepada kira-kira 60 atletnya yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Kit tersebut mengandungi set perlindungan diri yang mengandungi vitamin C, sanitizer dan topeng muka bagi digunakan oleh atlet para.

Menurut Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, inisiatif itu diperkenalkan selepas memikirkan ia antara bentuk bantuan yang boleh disalurkan pihaknya kepada atlet para dan sebagai tanda pihaknya sentiasa menitikberatkan soal kebajikan atlet.

Pihaknya turut yakin kit tersebut tersebut dapat membantu barisan atlet para yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan stok topeng muka di pasaran ketika ini.

“PMPM amat bersyukur kerana dapat menyerahkan sumbangan Kit Penjagaan Kesihatan kepada atlet dan jurulatih yang telah berada di rumah sepanjang tempoh PKP dengan harapan semoga ianya sedikit sebanyak dapat membantu atlet untuk menjaga kesihatan dan mempunyai perlindungan asas yang sewajarnya.

“Saya mendengar keluhan ada antara atlet para berdepan kesukaran untuk keluar sendirian membeli barangan asas seperti sanitizer dan topeng muka dan atas sebab itu saya terpanggil menyerahkan Kit Penjagaan Kesihatan kepada atlet para.

“Apapun, kami di MPM sentiasa mendoakan semua atlet untuk berada dalam keadaan sihat dan dijauhi daripada Covid-19. Saya mohon untuk para atlet menjaga kesihatan supaya kita dapat kembali bertanding di persada sukan pada tahun depan,” katanya.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

Majlis penyerahan Kit Penjagaan MPM itu diadakan di perkarangan Menara Kuala Lumpur baru-baru dengan gimik pelepasan apabila menempah perkhidmatan e-hailing, Grab Car untuk menghantar set perlindungan diri itu kepada enam jurulatih yang telah diwakilkan untuk menyerahkan kepada kira-kira 60 atlet para di sekitar Lembah Klang.

Gimik pelepasan itu dibuat secara pandu lalu dengan setiap Grab Car menerima barangan tersebut sebelum bergerak ke setiap lokasi rumah jurulatih yang telah dikenalpasti oleh pihak MPM.

Langkah itu dibuat MPM bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan atlet para sentiasa terjaga tanpa perlu keluar rumah untuk menerima sumbangan tersebut.

Dalam pada itu, Megat D. Shahriman turut mengesahkan setakat ini tiada atlet para yang dijangkiti Covid-19 dengan semua atlet tersebut sudah pulang awal ke kampung selepas menerima arahan daripada Majlis Sukan Negara.

Untuk rekod, temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 juga telah ditangguhkan kepada tahun depan iaitu pada 24 Ogos hingga 5 September 2021 ekoran penularan virus Covid-19 yang sudah meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia sekali gus wujud kemungkinan tiada pertandingan antarabangsa untuk atlet para lagi pada tahun ini. – MalaysiaGazette