Gambar hiasan

DUBAI – Pengeluar-pengeluar OPEC dan sekutu-sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak lebih daripada satu per lima berikutan kejatuhan permintaan disebabkan wabak koronavirus.

Kumpulan itu berkata, pengurangan itu akan dilaksanakan pada bulan Mei dan Jun sebanyak 10 juta tong sehari bagi meningkatkan harga.

Pengurangan itu dilaksanakan sehingga April 2022 sebelum ia ditarik balik secara beransur-ansur

Keputusan itu dicapai selepas OPEC dan sekutu-sekutunya termasuk Rusia selepas mengadakan perbincangan yang sukar selepas Arab Saudi dan Rusia enggan bersetuju pada awalnya.

Dengan persetujuan yang dicapai itu OPEC dan sekutu-sekutunya akan mengurangkan pengeluaran 10 juta tong sehari atau 10% daripada bekalan global.

Manakala 5 juta tong lagi dijangka dikurangkan oleh negara-negara lain.

Ia berkata, penurunan itu akan menyaksikan pengurangan sebanyak lapan juta tong sehari antara Julai hingga Disember.

Kemudian OPEC akan menurunkan pengurangan itu kepada enam juta tong antara Januari 2021 dan April 2022.

Harga minyak merosot pada bulan Mac selepas OPEC dan Rusia gagal bersetuju pemotongan bekalan minyak.

Berikutan pertemuan bulan Mac, Arab Saudi dan Rusia membuat keputusan untuk meningkatkan pengeluaran bagi mengekalkan penguasaan pasaran di tengah-tengah permintaan global yang jatuh.

Keadaan tersebut diburukkan lagi dengan kejatuhan permintaan minyak berikutan pandemik koronavirus yang mendorong harga minyak merudum ke paras 18 tahun rendah pada akhir bulan lalu.

Harga telah pulih sejak beberapa hari lalu apabila harga melonjak 20% selepas Presiden Donald Trump memaklumkan mahu menamatkan perang harga antara Arab Saudi dan Rusia. – MalaysiaGazette