Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung perbuatan penghuni Selangor Mansion yang membaling objek seperti botol, bungkusan sampah dan pasu bunga ke arah anggota tentera yang sedang bertugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, laporan Polis itu dibuat oleh pengadu kerana anggotanya memaklumkan tentang perbuatan segelintir penghuni kediaman tersebut.

“Walaubagaimanapun, tiada sebarang laporan polis berkenaan kejadian anggota ATM dibaling dengan air kencing warga asing seperti mana yang dinyatakan di dalam artikel tersebut dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Keadaan keselamatan di kawasan tersebut adalah terkawal dan pemakaian helmet oleh anggota ATM adalah mengikut Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan oleh pihak ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini tular di media sosial mendakwa anggota ATM yang berkawal di bangunan Selangor Mansion yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) memakai topi keledar untuk mengelak air kencing warga asing dari tingkat atas bangunan itu.

Bagaimanapun, Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang menafikan anggotanya terpaksa memakai topi keledar bagi mengelak air kencing dan najis warga asing yang menghuni bangunan Selangor Mansion.

“Pihak ATM hanya memakai helmet untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala di tempat lain adalah seperti biasa,” katanya.

Menurut Mazlan, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu cuba mendatangkan cedera kepada penjawat awam dengan membaling botol dan pasu bunga.

Tambah  beliau, rakaman percakapan pengadu telah pun dilakukan dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh polis Kuala Lumpur.

“Tindakan yang tegas dan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana penghuni yang didapati terlibat dalam kes yang dilaporkan tersebut.

“Polis Kuala Lumpur amat mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai Polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pasangkn cctv arah bangunn tu. Boleh nampak dari mana objek tu jatuh. Dapat si celaka yg buat tu hempok kepala dia dengan helmet. Otak kat jubo!!!

Comments are closed.