Fadzmel Fadzil
Fadzmel Fadzil

KUALA LUMPUR – Isu pengurusan barangan di pelabuhan-pelabuhan Malaysia semakin berlarutan walaupun kerajaan memberi jaminan untuk memastikan barang keperluan terus disalur dan dikeluarkan untuk memenuhi keperluan rakyat.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil, isu pelabuhan timbul seawal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumum yang mana terdapat kekangan pergerakan bagi kargo barang bukan utama (non-essentials) dari pelabuhan ke gudang.

“Ini lebih sukar untuk mengeluarkan pelbagai barang sama ada eperluan penting atau barang bukan utama kerana tidak mendapat kebenaran serta kelulusan segera daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Walaubagaimanapun, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) dan MITI telah memperincikan isu ini dan membenarkan barang terbabit dipindahkan dari pelabuhan ke gudang dan memberikan kebenaran segera.

“Walaupun terdapat pergerakan tetapi ia masih di tahap yang amat perlahan. Ini disebabkan masalah lain, antaranya, tenaga kerja terhad di pelabuhan kerana arahan kerajaan menghadkan jumlah pekerja untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, tindakan pihak berkuasa di pelabuhan yang membuat penggiliran pekerja bagi memastikan PKP dipatuhi antara faktor penyumbang kepada pergerakan barang keluar perlahan.

“Semua ini menyebabkan pengeluaran barang penting berkurangan seperti beras, gula, tepung, ditambah pula dengan keputusan beberapa negara untuk mengharam atau mengurangkan eksport barang keperluan seperti Vietnam dan Thailand.

“Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah berlaku di beberapa pelabuhan utama dunia. Lebih teruk apabila hubungan logistik antara pelabuhan menyebabkan rantaian bekalan barangan di antara negara turut menghadapi masalah.

“Contohnya import beras, 70 peratus keperluan import beras di Malaysia datangnya dari Vietnam (45.5%) dan Thailand (26.6%). Import yang besar ini adalah bagi mengimbangi permintaan dalam negara,” katanya.

Katanya, isu wabak telah menyebabkan keadaan hari ini berbeza dan masalah yang berlaku di pelabuhan Vietnam dan Thailand akhirnya menyebabkan pengurangan bekalan gula di dalam negara.

“Isu bekalan ini juga menyebabkan para pemain industri, khususnya pedagang bekalan makanan menjadi khuatir.

“Saya berjumpa dengan salah seorang daripada individu yang mengumpul barang makanan di gudang besar sebelum dihantar ke pasaraya berkata timbunan makanan seperti beras dan tepung semakin berkurangan namun, penambahan bekalan tidak meningkat seiringan dengan permintaan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya isu ini berlarutan, ia akan menyebabkan rak di pasaraya dan kedai runcit semakin kosong dan jika berterusan akan menyebabkan tempoh kelewatan barangan sampai ke destinasi dipanjangkan (domino effect).

“Perlu ada campur tangan penuh daripada kerajaan khususnya penglibatan KPDNHEP, MOA dan KDN dalam memastikan pergerakan barangan lebih sempurna dari pelabuhan sehingga ke pengguna.

“Apabila koordinasi ini jelas, barulah kerajaan dapat melihat isu logistik ini secara menyeluruh dan tersusun. Kerajaan juga perlu melihat penglibatan pekerja secara holistik.

“Penambahan pekerja di pelabuhan, sama ada sektor awam atau swasta perlu dipergiatkan. Pelepasan dan kelonggaran perlu diberikan bagi memastikan kelancaran pergerakan barangan dari pelabuhan sehingga gudang,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya isu ini tidak diperhalusi segera, ia akan menyebabkan lebih banyak masalah akan berlaku pada masa hadapan.

“Bukan sahaja bekalan barangan tidak mencukupi di dalam negara, ia juga akan merencatkan ekonomi negara di mana perdagangan memberikan sejumlah 121 peratus daripada KDNK (export + import) yakni bernilai RM1.84 trillion (GDP RM1.51 trillion),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast