Petugas KKM melakukan pemeriksaan wabak Covid-19 ke atas orang awam di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kematian yang dikaitkan dengan koronavirus mencecah 100,000 kes semalam dengan 1.6 juta kes jangkitan.

Kes kematian pertama berlaku di wuhan pada 9 Januari lalu dan ia mengambil masa 83 hari untuk 50,000 kematian pertama direkodkan.

Ia kemudian mengambil masa lapan hari lagi untuk kes kematian meningkat kepada 100,000, menurut Reuters.

Jumlah terus meningkat pada kadar harian antara 6% dan 10% sejak seminggu lalu dan hampir 7,300 kematian global direkodkan pada hari Khamis.

Angka kematian sekarang dibandingkan dengan Great Plague di London pada pertengahan 1660-an, yang membunuh kira-kira 100,000 orang, kira-kira satu pertiga penduduk bandar tersebut pada masa itu.

Tetapi ia masih jauh berbanding selesema Sepanyol, yang bermula pada tahun 1918 dan dianggarkan telah membunuh lebih daripada 20 juta orang sehingga ia dapat dipulihkan pada tahun 1920.

Novel koronavirus atau Covid-19 telah muncul di pasar Wuhan, yang mana haiwan liar dijual lewat tahun lepas dan cepat merebak melalui China dan seluruh dunia.

Angka kematian hari Jumaat – 100,000 kematian daripada 1.6 juta kes – akan menunjukkan kadar kematian sebanyak 6.25% tetapi ramai pakar percaya kadar sebenar lebih rendah memandangkan banyak kes ringan dan tanpa gejala apabila orang yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala, tidak termasuk dalam kes jumlah keseluruhan.

Sesetengah negara, termasuk Itali, Perancis, Algeria, Belanda, Sepanyol dan Britain melaporkan lebih daripada 10% daripada semua kes yang disahkan membabitkan kematian.

Salah satu kajian terbesar mengenai kematian penyakit ini, yang melibatkan 44,000 pesakit di China adalah kira-kira 2.9%.

Kajian sama melaporkan 93% kadar kematian adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun dan 70 tahun. – MalaysiaGazette