Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi semula keputusan kerajaan untuk membenarkan kedai gunting rambut untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa ketiga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan maklum mengenai bantahan dan kebimbangan sesetengah pihak berhubung perkara itu.

“Saya dimaklumkan MITI akan meneliti semua pandangan rakyat dan akan memperhalusi perkara ini,” katanya semasa sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa perkhidmatan dan perniagaan tambahan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP antaranya kedai gunting rambut atau salon serta kedai cermin mata.

Bagaimanapun, perkara tersebut telah menimbulkan kebimbangan terhadap timbulnya kluster gunting rambut pula selepas ini kerana secara alaminya, sukar untuk membendung penularan wabak Covid-19 dalam perkhidmatan tersebut terutama dari segi penjarakan sosial.

Malah terdapat kes di Amerika Syarikat dan Jepun yang melibatkan penularan wabak Covid-19 menerusi perkhidmatan gunting rambut.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan supaya membenarkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang terkandas untuk pulang ke kampung masing-masing, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji perkara tersebut.

Ini kerana ia melibatkan jumlah pelajar yang terlalu besar iaitu kira-kira 80,000 pelajar di seluruh negara.

Jelasnya, angka tersebut hanya melibatkan pelajar-pelajar yang berada di dalam kampus sahaja sedangkan pelajar-pelajar yang tinggal di rumah sewa juga pastinya mempunyai hasrat untuk pulang ke kampung juga, katanya.

Kerajaan ujarnya, tidak hanya bimbangkan keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar terbabit malah penduduk di kawasan sekitar sekiranya mereka dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pelajar duduk tempat masing2, jgn mengada nak balik kg.. ada pelajar bertahun tak balik kg tak pun melalak… ada studen ober’c pun tak balik , ingat tambang murah ke nak kesana kesini…

Comments are closed.