KUALA LUMPUR – Sekumpulan pakar robotik terdiri daripada enam orang pensyarah dari Kulliyyah Kejuruteraan dan Kulliyyah Teknologi Maklumat Komunikasi(KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghasilkan sebuah prototaip robot bagi membantu kakitangan barisan hadapan yang kini menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit Covid-19.
Projek ini diterajui oleh Centre Unmanned Technologies (CUTe) UIAM.
Robot yang diberi nama MediBot dilengkapi dengan alat kawalan jauh bervisual dilengkapi dengan sistem pembesar suara dan mikrofon berfrekuansi tinggi, oleh itu doktor dan pesakit akan berinteraksi tanpa perlu bersemuka.
Medibot ini turut dilengkapi dengan beberapa ciri yang boleh mencegah para petugas kesihatan daripada dijangkiti Covid-19.
Antara ciri-ciri yang terdapat pada Medibot ini ia dilengkapi dengan sensor thermal suhu, yang mana boleh mengesan suhu badan manusia dan sistem penggera jika pesakit tersebut mencapai suhu badan bermula pada 37.3 darjah celsius dan keatas.
Medibot ini juga mempunyak sistem semburan nyah kuman disinfeksi.
Sistem ini juga boleh diguna pakai di dalam dan kawasan luar atau terbuka.
Dengan adanya sistem semburan tersebut, ia dapat membantu mengekang penularan Covid19. Ciri lain juga ia dilengkapi dengan sinar UV-C.
Seorang penyelidik, Dr. Hasan Firdaus Mohd Zaki berkata, idea ini tercetus apabila melihat bebanan petugas kesihatan bertarung untuk merawat pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
Selain itu, para petugas kesihatan ini juga terdedah dengan pesakit Covid-19.
“Dengan penghasilan Medibot ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu petugas kesihatan dalam menjalankan rawatan kepada pesakit dari jarak jauh,” katanya.
Menurut beliau, penyelidikan dan pembangunan (R&D) robot ini memakan masa hampir sebulan bermula dengan lakaran dan fungsi sehingga siap sepenuhnya.
Kerja-kerja dilakukan di makmal kejuruteraan yang mempunyai kelengkapan-kelengkapan sepenuhnya untuk menghasilkan robot tersebut.
Robot ini akan ditempatkan dan digunakan di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM sebagai ujian dan setelah ia melepasi ujian-ujian yang ditetapkan oleh tenaga pakar robotik ia akan ditempatkan di Pusat Perubatan UIAM (IIUMMC) yang terletak di Kuantan untuk frasa permulaan. – MalaysiaGazette