Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad telah memulihkan kapasiti antarabangsa yang terjejas akibat kerosakan kabel Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) serta berjaya mengalihkan dan mengoptimumkan sepenuhnya trafik melalui laluan sambungan antarabangsa alternatif.

Penyelesaian proses baik pulih ini adalah jauh lebih awal daripada tarikh yang disasarkan iaitu 20 April ini.

TM dalam kenyataannya berkata, penyelarasan (fine tuning) rangkaian masih diteruskan dan akan terus memantau prestasi rangkaiannya bersama-sama rakan konsortium di negara-negara lain.

”Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa impak kepada para pelanggan adalah minimum berikutan langkah proaktif mengalihkan trafik ke laluan alternatif dan langkah-langkah lain yang diambil, sambil kerja-kerja baikpulih oleh rakan konsortium sedang dilakukan.

”Kami ingin memaklumkan bahawa sambungan data ke lokasi dan pelayan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat telah dioptimumkan sepenuhnya untuk dinikmati oleh semua,” kata TM sanbil memohon maaf atas sebarang kesulitan dan mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memahami dan atas kesabaran sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, katanya, TM sentiasa bersedia dan para pelanggan boleh menghubungi entiti ini untuk sebarang pertanyaan atau bantuan menerusi pelbagai saluran
khidmat pelanggan. – MalaysiaGazette