Presiden Persatuan Pergigian Doktor-Doktor Gigi Islam Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah

KUALA LUMPUR- Tiada moratorium penangguhan bayaran bagi syarikat pinjaman wang berlesen menyebabkan nasib 330 klinik pergigian terpinggir khususnya dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ia berikutan kebanyakan klinik pergigigan yang baharu beroperasi sukar mendapat pinjaman wang daripada institusi perbankan menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada syarikat pinjaman wang berlesen dengan kadar faedah rendah.

Polisi mudah syarikat pinjaman itu yang menawarkan peralatan lengkap perubatan secara sewa beli menyebabkan ramai doktor muda berminat menggunakan kaedah berkenaan sementelah mereka pula belum memiliki wang simpanan cukup untuk memulakan operasi.

Syarikat-syarikat berkenaan yang berfungsi sebagai pembekal peralatan perubatan akan menempatkan peralatan mereka yang bernilai lebih RM400,000 serta di klinik-klinik dengan perjanjian bayaran bulanan sehingga enam hingga tujuh tahun.

Presiden Persatuan Pergigian Doktor-Doktor Gigi Islam Malaysia, Dr. Firdaus Hanapiah berkata, bagaimanapun syarikat pinjaman wang berlesen terbabit tidak termasuk dalam institusi perbankan menyebabkan ia tidak boleh menawarkan moratorium sebagaimana yang dimanfaat oleh sektor Pengusaha Kecil dan Sederhana yang lain.

“Syarikat pinjaman berkenaan tidak tertakluk dengan Akta Bank, tiada pelepasan dan diwajibkan membayar juga. Kos bulanan sewa beli peralatan berkenaan adalah antara RM5,000 hingga RM7,000.

“Belum termasuk kos gaji pekerja dan sewa bulanan premis.

“Tanpa moratorium doktor-doktor terpaksa membayar kos bulanan dalam keadaan yang amat tertekan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, seorang penyelidik sektor pergigian, Dr. Jenizan Nordin berkata, sepanjang tempoh krisis, penurunan mendadak kehadiran pesakit sehingga 90 peratus daripada hari biasa menyebabkan sektor ini terjejas dengan teruk.

“Keadaan sangat menekan bagi doktor baru malah ada pemilik klinik terpaksa membenarkan syarikatnya memotong gaji bulanan bagi memastikan pekerja serta kos lain dapat ditampung.

“Anggaran pendapatan harian sebelum ini adalah RM2,000 tetapi berkurang sehingga RM200 sehari, malah waktu operasi juga dipendekkan.

“Ada klinik tidak beroperasi langsung kerana rasa tidak berbaloi untuk bayar kos utiliti serta potensi terdedah jangkitan wabak yang tinggi.

“Bagaimanapun ada yang masih beroperasi tetapi melihat kes-kes kecemasan sahaja.

Sehubungan itu, Dr Jenizan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perlaksanaan moratorium ke atas syarikat pinjaman berlesen bagi membantu meringankan beban sektor perkhidmatan seperti pergigian.- MalaysiaGazette