KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau bekalan barangan keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Ini termasuk tugasan menjalankan pemeriksaan khas terhadap barang keperluan harian di seluruh negara bagi menentukan tahap keberadaan 25 jenis barangan yang menjadi pilihan utama pengguna di pasaran.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga semalam, pemantauan khas telah dilaksanakan melalui 1,205 pemeriksaan melibatkan peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.

Kata beliau, daripada pemeriksaan di premis runcit, hampir semua barangan keperluan asas berada pada tahap stabil, di mana kedudukan bekalan mencukupi termasuk bekalan topeng muka dan sanitiser.

KPDNHEP telah menerima sejumlah 8,145 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan dan harga dari 18 Mac sehingga 11 April lalu, melalui empat saluran utama iaitu WhatsApp sebanyak 4,140, Sistem E-Aduan (1,766), talian Hotline – (1,631) dan talian melalui Enforcement Command Center (608).

“Bagi menangani kemungkinan kenaikan harga oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan, KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga memaklumkan bekalan basah dan kering terutamanya beras lebih daripada mencukupi.

Katanya, walaupun PKP tiga akan dilaksanakan bermula 15 April ini, rakyat tidak perlu bimbang dari segi cukup atau tidak bekalan makanan kerana kedua kementerian berkenaan telah melakukan pemeriksaan dan mendapati bekalan mencukupi.

“Jadi, jangan pula timbul pembelian panik dan sebagainnya sepanjang PKP tiga nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast