Tiga wanita ditahan selepas mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang tugas polis yang menegur tindakan salah seorang daripada mereka bermain mercun di sebuah taman perumahan di Kerayong, Bera

KUALA LUMPUR – Tiada siapa sangka ada juga dalam kalangan mereka yang terlibat dalam tugas dan menghantar barang dan makanan keperluan sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyalahgunakan kelonggaran yang diberi oleh kerajaan.

Namun itulah yang berlaku apabila polis berjaya menahan seorang lalaki yang bekerja sebagai penghantar barangan dan makanan dengan sebuah syarikat penghantaran barangan dan makanan pada 9.50 pagi ini kerana membawa dadah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek warga tempatan berusia 39 tahun itu ditahan semasa memandu kereta melalui sekatan jalan raya di kawasan Salak Selatan, Cheras.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai satu beg kertas yang mengandungi sekeping sampul surat yang diletakkan di dalam sebuah kotak.Pemeriksaan lanjut dalam beg suspek polis berjaya menjumpai paket yang dipercayai dadah jenis methamphetamine anggaran berat 1.6 gram.

“Polis telah menahan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Mokhsein, hasil saringan awal air kencing ke atas suspek berkenaan didapati negatif dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah atau penyalahgunaan dadah.

“Suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut. Pihak polis akan bertindak tegas ke atas mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan dan terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah atau dadah diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050/5051 atau menghubungi mana–mana balai polis berdekatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette