KUALA LUMPUR – Penghantar makanan di sekitar bandar Kuantan, Pahang yang melanggar atau menyalahgunakan permit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini harus ditamatkan perkhidmatannya.
Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) ketika menyuarakan pandangan itu meminta Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengkaji semula penghantar makanan atau ‘runner’ ini dengan tidak menyambung permit mereka.
Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, terdapat kira-kira 1,000 penghantar makanan yang beroperasi di daerah Kuantan sejak dibuka pada 7 April lalu.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan semua permit berkenaan akan tamat pada hari ini dan wajar MPK tidak menyambung perkhidmatan mereka yang telah menyalahkan permit itu.
“Kita difahamkan, daripada pemeriksaan polis sepanjang PKP ini mendapati terdapat ‘runner’ atau penghantar makanan menggunakan permit itu bukan untuk menghantar makanan, sebaliknya meronda sekitar bandar.
“Apabila pemeriksaan dilakukan, ada antara mereka yang tidak membawa makanan dipesan pelanggan, tetapi dilepaskan polis selepas menunjukkan permit MPK,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata, berikutan bandar Kuantan diisytiharkan kawasan zon merah Covid-19, penamatan permit kepada penghantar makanan wajar dilaksanakan.
Menurut Haslihelmy, apa yang mereka dan orang ramai perlukan lakukan ketika ini ialah mematuhi PKP dan terus kekal di rumah untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Beliau berharap, MPK khususnya Yang Dipertuanya, Datuk Hamdan Hussin mengkaji semula cadangan itu berikutan berlaku penyalahgunaan permit.
“Kita juga minta peniaga makanan di Kuantan dan di Pahang amnya mendaftar perniagaan masing-masing menerusi aplikasi digital PahangGo.
Aplikasi itu, katanya, akan memaparkan makanan dijual dan membantu peniaga dan penjaja kecil berniaga dalam tempoh yang sukar akibat Covid-19 ketika ini. – MalaysiaGazette
















