DUBAI – Pengeluar-pengeluar OPEC dan sekutu-sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran global kira-kira 10% susulan penurunan permintaan yang disebabkan oleh koronavirus.

Perjanjian persetujuan itu dicapai pada hari Ahad menerusi persidangan video.

Ia merupakan pengurangan pengeluaran minyak terbesar yang pernah dipersetujui.

Bagaimanapun, Mexico menolak pengurangan tersebut.

OPEC secara rasminya belum membuat pengumuman tetapi setiap negara anggota telah mengesahkan persetujuan masing-maisng.

Perincian terkini yang disahkan ialah akan berlaku pengurangan sebanyak 9.7 juta tong oleh OPEC dan sekutu-sekutunya.

Presiden Donald Trump dan Menteri Tenaga Arab Saudi, Dr Khaled Ali Mohammed al-Fadhel telah berkongsi berita itu menerusi Twitter masing-masing.

“Dengan rahmat Allah, maka dengan bimbingan yang bijaksana, usaha dan perbincangan yang berterusan sejak subuh hari Jumaat, kami sekarang mengumumkan penyelesaian perjanjian bersejarah untuk mengurangkan pengeluaran sekitar 10 juta tong minyak sehari dari kalangan anggota ‘OPEC+’ (OPEC dan sekutu-sektunya) bermula dari 1 Mei 2020,” kata Dr al-Fadhel.

Permintaan minyak dunia dianggarkan jatuh sebanyak satu pertiga kerana lebih daripada tiga bilion orang disekat daripada keluar rumah dalam usaha memutuskan rantaian koronavirus.

Sebelum itu, harga minyak pada bulan Mac merudum kepada 18 tahun terendah selepas OPEC dan sekutu-sekutunya gagal mencapai persetujuan pengurangan bekalan.

Perincian awal perjanjian yang digariskan oleh OPEC+ pada hari Khamis, akan menyaksikan kartel minyak itu dan sekutunya mengurangkan 10 juta tong sehari atau 10% bekalan global mulai 1 Mei.

Sebanyak lima juta tong dijangka dipotong oleh negara lain di luar OPEC seperti Amerika Syarikat, Kanada, Brazil dan Norway.

Penurunan pengeluaran itu akan berkurangan kepada lapan juta tong sehari antara bulan Julai dan Disember dan menjadi enam juta tong antara Januari 2021 dan April 2022. – MalaysiaGazette