KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan memperketatkan kawalan di sempadan termasuk memantau lorong tikus yang digunakan pendatang asing tanpa izin untuk memasuki negara ini secara haram.
Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melakukan kawalan ketat, baik di darat mahupun laut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat tidak perlu bimbang dengan pencerobohan di sempadan kerana semua pintu di sempadan telah ditutup.
“Kita sentiasa kawal pintu sempadan terutama jalan tikus yang digunakan Pati untuk masuk ke negara ini. Sempadan telah ditutup kepada semua warga asing dan sentiasa pantau jalan tikus.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana warga asing yang memasuki negara ini melalui jalan tikus. Setakat ini tiada pencerobohan melalui jalan tikus dilaporkan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Beliau menjelaskan, pengawalan bukan saja di jalan tikus, tetapi perairan negara juga dikawal ketat melalui laut termasuk bot nelayan asing yang banyak menceroboh.
Katanya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan APMM akan mengambil tindakan setegas-tegasnya untuk menghalang kemasukan mereka dan tindakan mengusir mereka keluar dari perairan akan dilakukan.
Sementara itu, bagi rakyat yang terkandas di luar negara, beliau meminta mereka hubungi kedutaan Malaysia di negara masing-masing.
Kata beliau, Wisma Putra komited untuk memastikan kebajikan mereka diberi keutamaan.
“Bagaimanapun, urusan membawa pulang mereka tertakluk kepada negara mereka terkandas. Ini kerana terdapat sesetengah negara menguatkuasakan sekatan dan membatalkan penerbangan keluar, masuk untuk mengekang penularan Covid-19.
“Oleh itu, tidak semua rakyat boleh dibawa pulang, tetapi kerajaan menerusi Kementerian Luar akan memastikan mereka dapat pulang.
“Kalau kerajaan mendapat kebenaran untuk mereka pulang, kos perlulah ditanggung oleh individu, dengan penerbangan khas akan diurus oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya. – MalaysiaGazette
















