KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meminta kerajaan mengkaji semula waktu perniagaan sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan umat Islam membeli juadah berbuka dan bersahur.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya mencadangkan waktu perniagaan yang dibenarkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 8 pagi hingga 8 malam kepada jam 5 pagi hingga 6 petang.
Dengan perubahan waktu itu, katanya, umat Islam dapat menjalani ibadah puasa tanpa banyak masalah kerana restoran dibuka pada waktu sahur dan berbuka.
“Kita menerima baik lanjutan PKP sehingga 28 April ini yang memasuki bulan Ramadan dan memerlukan umat Islam bersahur,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Jawahar turut meminta kerajaan mengekalkan levi pekerja asing melebihi 10 tahun atau lebih pada harga asal RM2,085 yang meliputi bayaran visa, levi perkhidmatan dan lain-lain.
Kata beliau, dengan kadar baharu RM6,000 yang ditetapkan kerajaan bagi syarat itu sangat membebankan majikan.
“Ada dalam kalangan ahli PRESMA yang mempunyai pekerja melebihi tempoh 10 tahun bekerja di negara ini dan masih boleh menyumbang kepada perniagaan majikannya, namun kadar yang dikenakan ini terlalu tinggi dan membebankan pengusaha.
“Kami harap kerajaan dapat mengkaji semula kadar levi itu, lebih lagi dalam keadaan merosot akibat PKP sekarang ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















