Petugas HKL secara sukarela menjahir pakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk rakan-rakan setugas yang merawat pesakit wabak Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Tidak sanggup melihat rakan-rakan setugas yang merawat pesakit Covid-19 berdepan risiko jangkitan kerana kekurangan Peralatan Perlindungan Diri Penuh (PPE), Ketua Jururawat Unit Kawalan Infeksi Hospital Kuala Lumpur, Nasriah Aziz menggerakkan usaha untuk menghasilkan sut tersebut.

Ketua Jururawat HKL/Unit Kawalan Infeksi, Nasriah Aziz .

“Saya bertugas di Unit Kawalan Infeksi jadi, saya sentiasa bergerak dari wad ke wad.

“Dari situ saya tahu mengenai aduan kakitangan-kakitangan lain mengenai kekurangan PPE yang mana pada awalnya kami hanya mengalami kekurangan pelindung muka sahaja.

“Jadi saya bersama rakan-rakan yang lain mengambil inisiatif untuk membuat pelindung muka DIY.

“Bila habis bertugas di wad, kami akan menjahit pelindung muka, pada ketika itu kami boleh menghasilkan kira-kira 200 keping.

“Dari situlah bermulanya penghasilan PPE di HKL ini bagi menampung kekurangan peralatan tersebut,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini.

Penghasilan Peralatan Pelindung Diri (PPE) untuk petugas pengurusan Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

Menurut Nasriah, pada awalnya mereka terpaksa mengeluarkan modal sendiri yang dikutip melalui tabung ahli unit Kawalan Infeksi untuk membiayai pembelian material bagi menghasilkan PPE.

Namun, selepas tersebarnya berita mengenai kekurangan bekalan PPE untuk kegunaan petugas-petugas kesihatan, mereka mula menerima sumbangan daripada sektor korporat, pereka fesyen dan juga orang awam.


Petugas HKL menjahit Pakaian Pelindung Diri (PPE) secara sukarela di di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2020.

Malah sebuah bengkel jahitan sementara dibuka di perpustakaan HKL untuk menghasilkan PPE. Seramai 32 orang bertugas pada satu-satu masa.

Bengkel tersebut dibuka pada jam 7.30 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari.

Kira-kira 2,000 set PPE diperlukan setiap hari di HKL.

Petugas HKL sedang tekun menjahit pakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) secara sukarela di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

Menurut Nasriah, pada awalnya, mesin jahit juga dipinjam daripada staf-staf HKL sebelum beberapa pihak tampil untuk memberi sumbangan atau pinjaman.

Ketika ini terdapat 16 buah mesin jahit dan 32 orang sukarelawan yang terlibat dalam aktiviti memotong dan menjahit PPE pada satu-satu masa.

Jelasnya, pola PPE digunting mengikut sampel sedia ada bagi memastikannya tidak lari daripada sut asal.

Material pula diperbuat daripada bahan kalis air dan kawalan kualiti terhadap PPE yang dihasilkan di bengkel tersebut dan sukarelawan luar termasuk pereka-pereja fesyen tempatan dilakukan sendiri oleh kakitangan pusat kawalan infeksi bagi memastikan sut tersebut tidak berlubang atau merisikokan pemakainya.

Selepas sut berkenaan siap dan lulus kawalan kualiti, ia akan dihantar ke unit Farmasi untuk diagihkan kepada petugas-petugas yang memerlukan.

“Kami tidak pernah menghasilkan sendiri PPE sebelum ini tetapi disebabkan wabak Covid-19 ini, kami terpaksa juga buat untuk memastikan kesihatan para petugas terjamin.

“Setiap hari kami melihat stok PPE menyusut manakala bekalan yang tiba tidak sama dengan jumlah sut yang dipakai setiap hari, jadi kami tidak boleh menunggu lebih lama kerana kita tahu, PPE adalah peralatan paling penting,” tegasnya.- MalaysiaGazette