Jalan raya di bandar London kosong susulan sekatan perjalanan yang dilaksanakan. foto Agensi

LONDON – Jumlah kematian akibat Covid-19 di hospital-hospital Britain meningkat kepada 11,329 orang dan kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan minggu ini.

Angka kematian di Britain adalah kelima tertinggi dunia menjadikan ia antara negara paling teruk dilanda wabak itu di Eropah.

Sebelum ini, kerajaan Boris Johnson dikecam teruk kerana tidak memiliki kit ujian dan perlindungan kepada kakitangan barisan hadapan dan terlewat melaksanakan sekatan perjalanan.

Britain kini dipimpin oleh Setiausaha Luar, Dominic Raab selepas Johnson dimasukkan ke hospital selepas positif Covid-19.

“Perjalanan kita membendung wabak ini masih jauh kerana belum sampai kemuncak.

“Selain itu, angka kematian masih tinggi, walaupun ada tanda-tanda positif kita dapat menangani wabak ini,” kata Raab.

Panel penasihat saintifik kerajaan sedang mengkaji semula bukti tentang keberkesanan langkah-langkah penjarakkan sosial minggu ini dan Raab memberi isyarat bahawa sekatan perjalanan tidak akan ditarik balik dalam tempoh terdekat ini.

“Kami tidak mengharapkan untuk melakukan apa-apa perubahan kepada langkah-langkah yang sedang dilaksanakan pada masa itu, dan kami tidak akan tarik balik sehingga kita yakin ia boleh ditarik,” ujarnya.

Penarikan semula sekatan itu mungkin mengambil beberapa minggu lagi.

Ketua Penasihat Saintifik Patrick Vallance menjangkakan jumlah kematian harian akibat koronavirus terus meningkat minggu ini, kemudian mendatar tinggi selama dua hingga tiga minggu sebelum jatuh. – MalaysiaGazette