Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) selepas menyerahkan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, Lee Chean Chung (PKR-Semambu) dan Leong Yu Man (DAP-Triang).

KUALA LUMPUR – Meskipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 kini memasuki hari terakhir, sebelum dilanjutkan tempohnya bagi Fasa 3 bermula 15 April hingga 28 April ini, tindakan Kerajaan Negeri Selangor masih ke belakang dan mengamalkan politik sempit dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat terjejas.

Apa tidaknya Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) daripada pembangkang masih dianaktirikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor apabila peruntukan kawasan tidak disalurkan bagi membantu rakyat yang terputus bekalan barang keperluan asas sepanjang tempoh PKP.

Sebaliknya peruntukan itu di bawah Pakej Selangor Prihatin Covid-19 tidak akan disalurkan secara langsung kepada sembilan wakil rakyat pembangkang di negeri itu tetapi akan diselaraskan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) atau dengan kata lain pemimpin politik PH.

Walaupun perkara itu sudah diumumkan hampir sebulan lalu oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, namun MalaysiaGazette dimaklumkan kawasan-kawasan pembangkang seperti DUN Sungai Panjang sehingga hari ini masih tidak mendapat peruntukan tersebut.

Salah satu inisiatif tersebut adalah penambahan skop peruntukan Program Mesra Rakyat dari RM20,000 kepada RM30,000 untuk semua 56 DUN di Selangor, sebenarnya hanya terpakai di dalam kawasan wakil rakyat kerajaan sahaja.

Indah khabar dari rupa, itulah hakikatnya Pakej Selangor Prihatin Covid-19 yang diumumkan Amirudin sebelum ini dan tidak membantu menangani penularan wabak Covid-19 jika terus mengamalkan sentimen politik sempit dan tidak menyalurkan bantuan ke kawasan pembangkang.

Keadaan itu berbeza ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menyalurkan peruntukan ke sembilan kawasan pembangkang di negeri itu.

Berdasarkan Facebook rasmi Menteri Besar Pahang itu semalam, dua wakil rakyat pembangkang itu ialah Lee Chean Chung (PKR-Semambu) dan Leong Yu Man (DAP-Triang) yang hadir ke pejabatnya untuk menerima peruntukan negeri bagi menangani penularan Covid-19.

Langkah dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) itu perlu dicontohi oleh semua kerajaan negeri PH dalam memastikan usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan rantaian Covid-19 berjaya.

Kerajaan Negeri Selangor juga perlu mencontohi pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin komited memastikan tiada satu golongan pun tercicir daripada mendapat bantuan bukan hanya B40 semata-mata bahkan M40 juga mendapat pembelaan ketika menjalani tempoh PKP ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.