KUALA LUMPUR- Kerajaan telah melantik 1,974 pegawai kesihatan pelbagai gred setakat 12 April lalu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, di bawah Pakej Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri pada 27 Mac lalu, kerajaan mensasarkan untuk melantik 2,000 pegawai kesihatan bagi membantu pasukan barisan hadapan negara memerangi wabak Covid-19.

“Ini termasuk memastikan terdapat sumber insan dan kepakaran yang mencukupi untuk menyokong usaha-usaha di makmal, hospital, dan pusat kuarantin seluruh negara.

“Kerajaan mensasarkan pelantikan 2,000 pegawai kesihatan untuk tujuan ini.

“Sehubungan itu, dengan sukacitanya, ingin saya berkongsi bahawa sehingga 12 April 2020, seramai 1,974 pegawai kesihatan pelbagai gred telah dilantik,” katanya semasa menyampaikan Perkongsian Khas Pelaksanaan Pakej Prihatin menerusi Facebook beliau hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat dan memantau keluhan mereka menerusi media-media massa atau media sosial.

Disebabkan itu juga, kerajaan katanya, telah meluaskan insentif RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi kepada pelajar-pelajar tingkatan enam, matrikulasi, diploma dan setara dengannya.

Selain itu, had minima gaji pemandu e-hailing juga diturunkan kepada RM1,200 bagi memastikan lebih ramai pemandu dapat menerima insentif one-off sebanyak RM500.

Pembayaran katanya, akan dibuat kepada lebih 90,000 pemandu e-hailing sepenuh masa pada 20 April ini.- MalaysiaGazette