Seorang lelaki berjalan menrentasi beberapa premis kedai yang ditutup semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berikutan jangkitan wabak Covid-19 koronavirus di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan membuat keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India dan kawasan-kawasan sekitarnya bermula hari ini sehingga 28 April 2020.

Kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ia melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

Jelas beliau keputusan ini dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua penghuni kawasan yang terbabit diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media.

Dalam masa yang sama beliau berkata, tempoh PKPD Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Menara City One termasuk Selangor Mansion dan Malayan Mansion dilanjutkan sehingga dua minggu lagi.

Tempoh lanjutan itu turut melibatkan Mahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui.

Ia berikutan berlakunya penambahan kes positif Covid-19 dalam waktu terdekat.

Hanya PKPD di Batu 21-23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat sahaja ditamatkan berkuatkuasa semalam.

Dalam pada itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, Ops Sanitasi Awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 1,701 operasi sanitasi di 97 zon termasuk di 26 Zon Merah sejak 30 Mac yang lalu.

Antara kawasan yang disanitasi, 1,203 bangunan kerajaan, 701 tempat awam, 736 pusat perniagaan dan 139 pasar raya.

“Kesemua Zon Merah di seluruh negara telahpun selesai disanitasi. Operasi akan diteruskan di kawasan-kawasan yang diputuskan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Keutamaan akan diberikan di Zon Merah dan Zon Kuning, dan lokaliti kes berdasarkan bilangan kes COVID-19 terkini,” tambah Ismail Sabri. – MalaysiaGazette